SMK Ghafar Baba juara Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM Bersama Harian Metro peringkat Melaka

am@hmetro.com.my

Banda Hilir : Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba muncul juara Pertandingan Pantun Bertemakan Peribahasa DRB-HICOM bersama Harian Metro 2026 peringkat negeri Melaka yang berlangsung di Dewan SMK Tinggi Melaka semalam.

Kemenangan itu melayakkan SMK Ghafar Baba mewakili Melaka ke peringkat akhir Zon Selatan di Maktab Abu Bakar, Johor Bahru, Johor pada 29 September ini bagi merebut gelaran juara keseluruhan pertandingan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Ketua Pegawai Komunikasi DRB-HICOM Berhad, Cairil Irwan Amir.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Abang Haliman Abang Julai; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; dan Pengetua SMK Tinggi Melaka, Johan Othman.

SMK Ghafar Baba dinobatkan sebagai juara menerusi persembahan empat pemantun iaitu Putera Hirfan Abdullah, Muhammad Hasif Muhammad Fazlie, Muhammad Hafiy Iskandar Mohd Hazri dan Nur Aisyy Humairah Mohd Rajab.

SMK Pernu menduduki tempat keempat dan menerima wang tunai RM800 berserta trofi dan sijil, manakala pihak sekolah menerima RM550.

SMK Ayer Keroh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sharifah Rodziah berkongsi tempat kelima, masing-masing menerima wang tunai RM600 berserta trofi dan sijil DRB-HICOM, manakala pihak sekolah menerima RM550.

Pertandingan yang dihadiri lebih 300 pelajar dinilai empat juri profesional iaitu komposer, penulis lirik dan pantun, Dr Hairul Anuar Harun; juri Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Peringkat Kebangsaan, Dr Faezah Muhayat; Musazliza Mustan Shir; serta pengkaji, penyelidik dan penulis buku pantun, Dr Mohamad Shaidan.

Pada peringkat akhir nanti, SMK Ghafar Baba akan berdepan juara Negeri Sembilan dan Johor.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Hussain Jahit berkata, penganjuran pertandingan berkenaan mencerminkan sinergi antara media, korporat dan pendidikan dalam usaha memupuk modal insan yang berkeyakinan tinggi, berfikiran tajam serta berakar kepada identiti nasional.

Menurut beliau, Harian Metro bukan sekadar melaporkan berita, malah turut berperanan sebagai wadah pemeliharaan identiti dan warisan bangsa, khususnya dalam mendekatkan seni pantun kepada generasi muda.

“Media memainkan peranan kritikal sebagai pemangkin dan jambatan penghubung yang mendekatkan warisan tradisi seperti pantun kepada generasi muda.

“Kita mahu buktikan bahawa pantun bukan khazanah silam yang kian malap ditelan zaman, sebaliknya satu seni komunikasi yang dinamik, kreatif dan relevan dengan jiwa anak-anak muda zaman ini,” katanya.

Tambah beliau, sambutan luar biasa sepanjang peringkat saringan membuktikan seni berbalas pantun bertemakan peribahasa masih mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

“Keupayaan peserta menguasai seni berbalas pantun secara spontan turut menunjukkan bait-bait warisan berkenaan terus menjadi medium penyatuan jiwa dan akal budi generasi muda daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Sementara itu, Cairil berkata, pertandingan pantun itu mencerminkan komitmen DRB-HICOM dalam memperkasa generasi muda menerusi pembangunan bakat dan peluang pembelajaran berterusan.

Katanya, pertandingan berkenaan bukan sekadar medan mencari juara, sebaliknya menjadi platform untuk menghidupkan seni pantun dalam kalangan pelajar sambil membina kreativiti dan kemahiran berkomunikasi.

“Bagi DRB-HICOM, pertandingan ini bukan sekadar tentang siapa yang menjadi juara. Lebih penting, ia memberi pengalaman kepada pelajar untuk berani berdiri di hadapan khalayak, menyampaikan pandangan dengan yakin dan berkomunikasi dengan jelas.

“Nilai ini penting bagi membantu mereka berkembang dalam apa juga bidang yang diceburi pada masa depan,” katanya.

DRB-HICOM adalah rakan kolaborasi strategik Harian Metro dalam penganjuran pertandingan ini. Program ini adalah cetusan idea DRB-HICOM yang mula diperkenalkan pada tahun 2025 sebagai projek perintis di peringkat negeri Selangor.

Pertandingan diteruskan pada tahun ini dan diperluaskan ke peringkat Zon Selatan dengan penglibatan beberapa rakan strategik utama yang merupakan ahli Kumpulan DRB-HICOM, termasuk PROTON, MODENAS, PUSPAKOM, Bank Muamalat, DHAS, CTRM dan Honda.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan DRB-HICOM serta para rakan strategik dalam menyokong pembangunan bakat, inovasi dan kerjasama industri di peringkat yang lebih luas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top