London: Kedudukan Michael Carrick sebagai pengurus Manchester United semakin terancam selepas skuad kendaliannya mengalami kekalahan 0-2 kepada Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge, malam tadi.
Kekalahan itu menyaksikan United meneruskan kemarau kemenangan kepada sembilan perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Carrick yang sebelum ini masih mendapat kepercayaan pihak pengurusan kelab.
Sorakan penyokong Chelsea yang melaungkan ‘Anda akan dipecat pagi esok’ ketika Carrick meninggalkan padang turut menggambarkan tekanan yang semakin dirasai pengendali berkenaan.
Bagaimanapun, bekas pemain tengah United itu mengelak daripada mengulas mengenai masa depannya dan sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada persiapan pasukan untuk aksi Liga Juara-Juara menentang Roma, Rabu ini.
“Saya hanya mahu memberi tumpuan untuk mempersiapkan pemain menghadapi perlawanan pertengahan minggu,” katanya.
United sebenarnya memulakan perlawanan dengan aksi bertenaga pada separuh masa pertama selepas kapten Bruno Fernandes kembali dalam kesebelasan utama, namun gagal memanfaatkan beberapa peluang menerusi Fernandes, Matheus Cunha dan Amad Diallo.
Bryan Mbuemo turut hampir membuka jaringan apabila percubaannya sekadar menggegar tiang gol.
Namun, kegagalan memanfaatkan peluang itu menghukum United apabila Morgan Rogers meletakkan Chelsea di depan empat minit selepas babak kedua bermula.
Rogers membawa bola dari kawasan sendiri sebelum melepasi barisan pertahanan United yang dilihat teragak-agak untuk bertindak, sebelum menewaskan penjaga gol Senne Lammens menerusi penyudah menarik.
Situasi United bertambah buruk apabila Lisandro Martinez dilayangkan kad merah susulan terjahan keras terhadap Wesley Fofana pada pertengahan babak kedua, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea.
Cole Palmer menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 meskipun Lammens berjaya menyentuh bola ketika cuba menepis percubaan itu.
Carrick mengakui kegagalan pasukannya memanfaatkan peluang serta kesilapan ketika bertahan menjadi punca kekalahan.
“Kami gagal memanfaatkan peluang yang ada. Separuh masa kedua terlepas daripada kawalan kami. Ada masanya dalam perlawanan anda berdepan situasi sukar dan perlu mengatasinya.
“Anda melepaskan gol mudah dan keadaan menjadi lebih mencabar apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain,” katanya.
Carrick turut memuji semangat pemainnya yang terus bersatu meskipun berdepan tempoh sukar kebelakangan ini.
Keputusan itu menyaksikan United berisiko terjerumus ke zon penyingkiran apabila berada di tangga ke-17 dengan kelebihan hanya satu mata daripada kelompok tiga terbawah, manakala Chelsea melonjak ke kedudukan keempat secara sementara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




