am@hmetro.com.my
Butterworth: Sebuah bas persiaran yang membawa lebih 30 penumpang dari Johor tersangkut di bawah jejambat di Taman Bagan, malam tadi selepas pemandunya mengikut arahan aplikasi Waze.
Kesan rempuhan menyebabkan hampir separuh daripada badan bas tersangkut di bawah jejambat, menyebabkan beberapa cermin tingkap pecah dan serpihan kaca bartaburan di atas jalan raya.
Dua penumpang turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas terkena serpihan kaca, bagaimanapun keadaan mereka dilaporkan stabil.
Pemandu bas yang hanya mahu dikenali sebagai Razali, berkata beliau membawa penumpang ke sebuah hotel berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke Kedah hari ini.
Razali berkata, beliau bergantung kepada aplikasi navigasi Waze, yang didakwa mengarahkannya melalui laluan itu tanpa mengambil kira had ketinggian jejambat berkenaan.
“Saya terdengar bunyi dentuman yang kuat ketika memandu di bawah jejambat. Beberapa saat kemudian, cermin bas pecah dan serpihan kaca bertaburan di mana-mana.
“Saya sangat terkejut dengan apa yang berlaku,”
katanya.
Razali berkata, beliau pernah ke Butterworth beberapa kali sebelum ini, tetapi ia adalah kali pertama beliau mengikut aplikasi navigasi Waze melalui jejambat di Taman Bagan.
Katanya, keadaan yang malap serta faktor tidak biasa dengan kawasan terbabit menyebabkan beliau bergantung sepenuhnya pada arahan aplikasi berkenaan.
Tinjauan di lokasi kejadian, mendapati laluan bawah jejambat mempunyai papan tanda had ketinggian 2.6 meter, serta papan tanda amaran yang menunjukkan kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




