KUALA SELANGOR: Seorang lelaki warga emas hilang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama anak angkatnya karam dekat Sungai Selangor berhampiran Kampung Kuantan, Jalan Bestari Jaya, di sini, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, ketika kejadian hanya anak angkat iaitu lelaki berusia 49 tahun yang berjaya menyelamatkan diri manakala warga emas terbabit hilang.
Katanya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 6.47 petang semalam sebelum menggerakkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya.
“Komander operasi melaporkan sebuah bot yang dinaiki dua lelaki berusia 73 tahun dan 49 tahun karam ketika dalam perjalanan pulang ke jeti. Mangsa berusia 49 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala warga emas berusia 73 tahun, dilaporkan hilang.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan bagi mengesan mangsa yang hilang dengan menggunakan bot. Teknik pencarian Surface Searching,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, sepasukan empat termasuk pegawai dan anggota bomba ditugaskan dalam operasi tersebut yang dibantu oleh jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah bot. Turut terlibat adalah tujuh pegawai dan anggota polis.
Jelas Ashrul Riezal, sehingga petang tadi, operasi SAR masih diteruskan dan radius pencarian dikembangkan antara satu hingga 3 kilometer (km), namun tidak membawa kepada sebarang penemuan.
“Pencarian di sepanjang tebing sungai masih belum menjumpai sebarang petunjuk.
“Pada jam 6.20 petang, Unit K9 bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) meninggalkan lokasi dan semua agensi akan membuat pencarian pada esok pukul 8 pagi. Tindakan balai bomba bestari jaya pada malam ini akan membuat Surface Searching. – UTUSAN




