Kansas City: Ketua jurulatih Austria, Ralf Rangnick, menegaskan pasukannya hanya memikirkan kemenangan ke atas Algeria dalam aksi terakhir Kumpulan J Piala Dunia 2026, sambil menolak andaian bahawa mereka mungkin sengaja mengelak muncul naib juara bagi menghindari pertemuan dengan juara Eropah, Sepanyol.
Perlawanan yang berlangsung awal pagi esok itu mencuri perhatian apabila naib juara kumpulan berkemungkinan bertemu Sepanyol pada pusingan 32 terbaik, manakala pasukan yang menamatkan saingan di tempat ketiga dijangka berdepan lawan yang dianggap lebih mudah.
Bagaimanapun, Rangnick pantas menepis spekulasi bahawa Austria mungkin memilih untuk tewas demi mendapatkan laluan yang lebih selesa.
“Tidak, sama sekali tidak. Soalan seterusnya,” kata pengendali Austria itu ringkas.
Pemain tengah Austria, Konrad Laimer, turut senada dengan jurulatihnya apabila menegaskan pemain tidak memikirkan siapa bakal menjadi lawan selepas peringkat kumpulan.
“Sejujurnya saya tidak peduli. Kami turun untuk menang. Kami mahu mara ke pusingan kalah mati dan selepas itu sama ada bertemu Sepanyol atau mana-mana pasukan lain, kami akan lihat kemudian.
“Kami hanya mahu memberi tumpuan kepada diri sendiri. Sasaran kami ialah menang dan layak ke pusingan seterusnya. Selepas itu, tidak kisah siapa lawan kami,” kata pemain Bayern Munich itu.
Perlawanan itu turut mengimbau kembali insiden kontroversi Piala Dunia 1982 di Gijon apabila Austria dan Jerman Barat didakwa berpakat untuk memastikan kedua-dua pasukan mara ke pusingan seterusnya, sekali gus menyingkirkan Algeria.
Perlawanan yang dikenali sebagai ‘Disgrace of Gijon’ itu kekal menjadi antara episod paling kontroversi dalam sejarah Piala Dunia.
Namun, Rangnick menolak sebarang perbandingan dengan insiden berkenaan.
“Ketika perlawanan itu berlangsung, tiada seorang pun pemain saya sudah dilahirkan, manakala saya ketika itu baru berusia 24 tahun.
“Itu berlaku terlalu lama dahulu dan langsung tiada kaitan dengan perlawanan yang akan kami harungi esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




