Washington: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat memperkenalkan reka bentuk pasport edisi terhad baharu sempena ulang tahun ke-250 kemerdekaan negara itu yang menampilkan imej wajahnya dengan ekspresi serius.
“Pasport baharu Amerika Syarikat yang berbunyi, ‘Selamat Datang, tetapi berkelakuan baik!’,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya yang memaparkan reka bentuk pasport berkenaan.
Imej itu memperlihatkan Trump berwajah tegas di meja bersama tandatangannya, dengan latar belakang memaparkan teks Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat.
Reka bentuk itu dipercayai berdasarkan potret yang dirakam jurugambar Rumah Putih, Daniel Torok.
Pada halaman bertentangan pula dipaparkan lukisan yang menggambarkan pemeteraian Pengisytiharan Kemerdekaan pada tahun 1776, bersama tulisan ‘United States of America 250’.
Rumah Putih turut berkongsi reka bentuk pasport sama dengan tulisan ‘PATRIOT PASSPORT‘.
Jabatan Negara Amerika Syarikat yang sebelum ini mengumumkan pasport peringatan dengan karya seni khas akan mula ditawarkan mulai 6 Julai, bagaimanapun belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas.
Pada April lalu, seorang pegawai jabatan itu memaklumkan pasport bertemakan Trump hanya akan ditawarkan melalui janji temu secara bersemuka di Washington, selagi stok masih ada.
Sejak kembali memegang jawatan, Trump giat meletakkan identitinya pada pelbagai institusi kerajaan, termasuk memasang sepanduk yang memaparkan imej beliau di beberapa bangunan kerajaan.
Selain itu, Jabatan Perbendaharaan mengumumkan tandatangannya akan dipaparkan pada wang kertas satu dolar.
Trump turut meletakkan namanya pada Pusat Seni Persembahan John F. Kennedy sebelum sebuah mahkamah memutuskan supaya nama itu ditanggalkan.
Beliau bakal menjadi presiden AS pertama yang sedang memegang jawatan untuk dipaparkan dalam dokumen perjalanan rakyat negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




