NEW YORK – Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani enggan memohon maaf atau menarik balik kenyataan kontroversinya yang mengaitkan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) dengan istilah ‘raksasa’, meskipun didesak berbuat demikian oleh lebih 700 rabai pro-Israel di Amerika Syarikat (AS).
Dalam surat terbuka yang diterbitkan pada Jumaat, kumpulan rabai berkenaan mendakwa kenyataan Mamdani bersifat berbahaya, tidak boleh diterima dan boleh menyemarakkan sentimen antisemitisme.
Mereka turut menggesa Datuk Bandar New York itu menarik balik kenyataannya serta memohon maaf kerana didakwa menggunakan retorik yang menyahinsankan masyarakat Yahudi.
Bagaimanapun, Mamdani mempertahankan kenyataan tersebut dan menegaskan beliau tidak merujuk istilah ‘raksasa’ kepada AIPAC semata-mata, sebaliknya kepada pihak yang menurutnya mengekalkan status quo konflik di Palestin.
“Apabila saya bercakap mengenai AIPAC, saya merujuk kepada sebuah organisasi yang menyokong status quo dan menentang sebarang usaha untuk membawa keselamatan kepada rakyat Palestin serta keamanan di rantau ini,” katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan istilah ‘raksasa’ merupakan petikan daripada ahli falsafah Marxis Itali, Antonio Gramsci.
“Dunia lama sedang mati dan dunia baharu sedang bergelut untuk dilahirkan. Kini ialah zaman raksasa,” katanya sambil menjelaskan istilah itu merujuk kepada semua pihak yang menghalang kelahiran dunia baharu, bukannya AIPAC sahaja.
Mamdani berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan semasa yang menurutnya menyaksikan kanak-kanak Palestin terus terbunuh setiap hari walaupun gencatan senjata diumumkan.
Kontroversi itu tercetus selepas Mamdani berucap pada satu perhimpunan bersama Senator Demokrat, Bernie Sanders pada 18 Jun lalu apabila beliau mendakwa AIPAC menggunakan ‘jutaan dolar dana gelap’ untuk mengekalkan pengaruh politik dan memecahbelahkan masyarakat.
Isu tersebut timbul ketika pengaruh politik Mamdani semakin meningkat selepas ketiga-tiga calon Kongres yang disokongnya memenangi pemilihan Parti Demokrat baru-baru ini.
Kemenangan itu dilihat penyokongnya sebagai petanda perubahan dalam landskap politik Parti Demokrat di New York.
Sementara itu, Liga Anti-Fitnah (ADL), sebuah pertubuhan pro-Israel, turut menyokong gesaan rabai berkenaan agar Mamdani memohon maaf atas kenyataannya.-Agensi



