PM rasmi LRT3 Laluan Shah Alam esok

PM rasmi LRT3 Laluan Shah Alam esok

Shah Alam: Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam dari Bandar Utama ke Johan Setia sepanjang 37.8 kilometer (km) siap sepenuhnya dan sedia untuk beroperasi.

Ketua Laluan Shah Alam Mohd Ariffin Idris berkata pembukaan Laluan Shah Alam yang memanfaatkan dua juta penduduk sekitar jajaran itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.

Beliau berkata tarikh dan masa pembukaan operasi Laluan Shah Alam yang meliputi 20 stesen baharu itu akan diumumkan Perdana Menteri pada majlis pelancaran itu nanti.

“Kesemua stesen baharu tersebut ialah Bandar Utama, Kayu Ara, BU 11 (Bandar Utama 11), Damansara Idaman, Subang, Glenmarie 2, Kerjaya, Stadium Shah Alam, Dato’ Menteri dan UiTM Shah Alam.

“Sepuluh lagi stesen ialah Seksyen 7 Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Jalan Meru, Jambatan Kota, Taman Selatan, Seri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi prapembukaan laluan itu baru-baru ini.

Mohd Ariffin berkata penumpang boleh bertukar ke Laluan Kajang di Stesen Bandar Utama dan ke Laluan Kelana Jaya menerusi sambungan di Stesen Glenmarie 2.

Bagi meningkatkan ketersambungan dan memperkukuh perjalanan dari batu pertama hingga terakhir, Mohd Ariffin berkata jajaran berkenaan turut dilengkapi dengan 40 bas perantara yang telah memulakan operasi di 323 hentian melibatkan 13 laluan dikhaskan, dengan tambang hanya RM1 bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

“Di samping itu, turut disediakan perkhidmatan Rapid On-Demand melibatkan 44 buah van di 20 zon dengan bayaran RM2 sahaja, bermula 6 pagi hingga 11.30 malam.

“Laluan bas perantara serta perkhidmatan van Rapid On-Demand akan diselaraskan mengikut permintaan dan corak perjalanan selepas pembukaan Laluan Shah Alam,” katanya.

Terdapat juga kemudahan parkir di enam stesen iaitu di Kayu Ara, Damansara Idaman, Pasar Besar Klang, Sri Andalas, Bandar Bukit Tinggi dan Johan Setia dengan jumlah keseluruhan tempat letak kenderaan sebanyak 2,300 petak.

Mohd Ariffin berkata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) turut menyasarkan 67,000 perjalanan penumpang sehari pada tahun pertama operasi dan meningkat kepada 117,708 sehari dalam tempoh lima tahun.

Beliau berkata Laluan Shah Alam turut mengadaptasi pelbagai teknologi hijau antaranya sistem penyaman udara tren kenderaan rel ringan (LRV) menggunakan teknologi Inverter dan Sistem Penyaman Udara Pintar, malah reka bentuk stesen turut mengutamakan pengudaraan serta pencahayaan semula jadi bagi meningkatkan kecekapan tenaga.

Di samping itu, kemudahan orang kurang upaya (OKU) juga disediakan di kesemua stesen antaranya laluan landai (ramps) untuk pengguna berkerusi roda, tandas mesra OKU serta tempat duduk khas untuk pengguna OKU di setiap gerabak.

Bagi kerja pembinaan semula lima stesen iaitu Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik, Mohd Ariffin berkata ia akan dimulakan pada penghujung tahun ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top