Keadaan manusia menuju padang mahsyar

Keadaan manusia menuju padang mahsyar

Pemberitahuan mengenai adanya hari kebangkitan sesudah mati adalah antara matlamat utama para nabi AS diutuskan oleh Allah SWT kepada seluruh umat manusia.

Oleh sebab itu, banyak ayat al-Quran yang mengkhabarkan mengenai perkara ini sebagai jawapan terhadap sangkaan golongan kafir dan bantahan tegas terhadap setiap orang yang tidak percaya dengan adanya hari kebangkitan.

Antaranya, firman Allah SWT yang bermaksud: “(Di antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka tidak sekali-kali akan di bangkitkan (sesudah mati). Katakanlah: “Bahkan, demi Tuhanku, kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang kamu telah kerjakan. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah melaksanakannya”. (at-Taghabun: 7)

Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Balasan mereka yang sedemikian ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: “Adakah sesudah kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?” Tidakkah mereka mahu memikirkan dan meyakini bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa menciptakan orang-orang yang seperti mereka (dalam bentuk yang baharu), padahal Dia telahpun menentukan bagi mereka tempoh yang tidak ada syak padanya? Dalam pada itu, orang-orang yang zalim enggan menerima melainkan kekufuran”. (al-Isra’: 98-99)

Setiap manusia sama ada dia percaya atau tidak, pasti akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihisab setiap amalan yang mereka lakukan semasa di dunia dahulu.

Tiada seorang pun daripada kalangan mereka yang melakukan dosa dan kesalahan akan terlepas daripada proses ini.

Pada masa ini, baharu diketahui siapa yang untung dan siapa yang rugi. Tiada peluang kedua yang akan diberikan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan. Dan sesiapa yang disesatkan-Nya, maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka penolong-penolong yang lain daripada-Nya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) dengan mukanya tertelungkup, dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka itu adalah neraka Jahanam. Tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang”. (al-Isra’: 97)

Mengenai mereka yang dihimpunkan dengan mukanya tertelungkup, Anas bin Malik RA berkata: Seorang lelaki pernah bertanya: “Wahai Nabi Allah, bagaimana orang kafir dihimpunkan dengan mukanya tertelungkup pada hari kiamat kelak?” Baginda menjawab: “Bukankah Tuhan yang menjadikan dia boleh berjalan dengan kedua-dua kakinya ketika di dunia, turut berkuasa untuk menjadikan dia berjalan dengan mukanya pada hari kiamat kelak?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari, hikmah pada keadaan orang kafir dihimpunkan dengan wajahnya tertelungkup ialah sebagai hukuman baginya kerana keengganannya sujud kepada Allah semasa di dunia, iaitu secara diheret dengan wajahnya tertelungkup pada hari kiamat nanti bagi menzahirkan kehinaannya, ketika mana wajahnya itu menjadi ganti kepada tangan dan kakinya bagi berlindung daripada perkara-perkara yang menyakitkan.

Maka, manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar dengan dibahagikan kepada tiga kelompok.

Abu Zar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya manusia akan dihimpunkan dalam tiga kelompok; satu kelompok dalam keadaan menunggang kenderaan serta beroleh makanan dan pakaian, satu kelompok lagi berjalan kaki dan berlari dan satu kelompok lagi diheret oleh para malaikat dengan wajah mereka tertelungkup serta digiring menuju ke neraka. Seorang sahabat bertanya: “Dua kelompok ini sudah kami ketahui, maka apa kena pula orang-orang yang berjalan kaki dan berlari itu?” Baginda menjawab: “Allah akan mencampakkan kebinasaan (kematian) kepada haiwan tunggangan sehingga tidak ada lagi seekor pun haiwan tunggangan yang tinggal, hinggakan ada seorang lelaki yang mempunyai sebuah kebun yang mewah, lalu dia mahu memberikannya sebagai ganti dengan unta yang berpelana, namun dia tetap tidak dapat memperolehinya.” (Riwayat Ahmad dengan sanad hasan)

Manakala Bahz bin Hakim meriwayatkan daripada bapanya daripada datuknya yang berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya kamu sekalian akan dihimpunkan dalam keadaan berjalan kaki, berkenderaan dan diheret dengan wajah kamu sekalian tertelungkup”. (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih)

Al-Hafiz Ibnu Hajar merumuskan, mereka yang berkenderaan itu ialah golongan muqarrabin (orang beriman yang dekat dengan Allah SWT) dan yang berjalan kaki pula ialah golongan Muslimin selain mereka.

Manakala yang dihimpunkan dengan wajah mereka tertelungkup ialah golongan kafir.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan al-Quran dan al-Sunnah Universiti Islam Selangor (UIS)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top