Malaysia kini berdepan perubahan demografi besar apabila jumlah warga emas meningkat dengan pantas, termasuk dalam kawasan perumahan awam (PA) seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Ikuti temubual eksklusif wartawan Harian Metro, HAFIZ ITHNIN bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, DATUK SERI NANCY SHUKRI yang menyentuh perspektif peningkatan warga emas memerlukan persediaan lebih menyeluruh, khususnya dari segi perumahan, kemudahan asas dan sokongan komuniti.
Apakah trend semasa struktur penduduk Malaysia?
Malaysia sedang mengalami perubahan demografi apabila struktur penduduk semakin menua dalam tempoh yang singkat.
Jumlah penduduk meningkat daripada 23.5 juta pada 2000 kepada hampir 34.5 juta pada 2025. Dalam tempoh sama, penduduk berusia 60 tahun ke atas meningkat daripada 6.3 peratus kepada 12 peratus.
Penduduk berusia 65 tahun ke atas pula meningkat daripada empat peratus pada 2000 kepada lapan peratus pada 2025.
Perubahan ini menunjukkan Malaysia sedang bergerak pantas ke arah masyarakat menua.
Berapa jumlah warga emas di Malaysia ketika ini?
Mengikut Dasar Warga Emas Negara, warga emas ialah individu berusia 60 tahun ke atas.
Pada 2025, jumlah warga emas di Malaysia dianggarkan mencecah 4.1 juta orang atau 12 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.
Bagaimana unjuran populasi warga emas di Malaysia dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang?
Dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang, bilangan serta peratusan warga emas di Malaysia dijangka meningkat dengan ketara. Menjelang tahun 2030, penduduk berusia 60 tahun dan ke atas diunjurkan mencecah 4.8 juta orang atau 13.3 peratus daripada jumlah penduduk. Peratusan ini dijangka terus meningkat kepada 15.1 peratus menjelang 2036. Seterusnya, unjuran bagi tahun 2050 menunjukkan bahawa seorang daripada lima penduduk Malaysia akan tergolong dalam kumpulan warga emas
Adakah Malaysia sudah menjadi negara menua?
Ya. Mengikut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sesebuah negara dikategorikan sebagai negara menua apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.
Malaysia mencapai status itu pada 2021 dan mencatat lapan peratus pada 2025.
Malaysia juga dijangka bergerak ke arah negara tua apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas melebihi 14 peratus yang dijangka berlaku menjelang 2048.
Sejauh mana persekitaran perumahan sedia ada, termasuk PPR, mesra warga emas dari aspek keselamatan dan keselesaan?
Persekitaran perumahan sedia ada termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) pada hari ini masih berada pada tahap yang sederhana dari segi kemesraan kepada warga emas. Walaupun PPR dan projek perumahan sosial lain berjaya menyediakan tempat tinggal berpatutan untuk golongan berpendapatan rendah, reka bentuk asal dan keadaan fizikal banyak daripada blok PPR ini dibina beberapa dekad lalu ketika struktur demografi negara masih didominasi golongan muda.
Langkah asas seperti laluan masuk yang rata, akses lif yang baik dan ruang komunal sering tidak memadai, justeru menimbulkan cabaran bagi mereka yang menghadapi isu mobiliti, jatuh atau keperluan aktiviti harian yang lebih selesa.
Kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) turut menunjukkan bahawa sekitar 10 peratus penghuni PPR adalah warga emas berumur 60 tahun ke atas, sekali gus menegaskan bahawa golongan ini bukan minoriti kecil dalam perumahan dan jumlahnya dijangka meningkat seiring pola penuaan penduduk negara.
Apakah cabaran utama warga emas di kawasan perumahan awam?
Ramai warga emas berdepan penyakit kronik, masalah mobiliti dan isu kesunyian. Dalam masa sama, perubahan struktur keluarga serta peningkatan wanita dalam tenaga kerja mengurangkan kapasiti penjagaan tradisional terhadap ibu bapa dan warga emas.
Di kawasan luar bandar dan perumahan lama, warga emas juga berdepan cabaran mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan, pengangkutan awam dan persekitaran yang benar-benar mesra warga emas. Permintaan terhadap penjagaan kesihatan dan fasiliti penjagaan jangka panjang dijangka terus meningkat.
Adakah reka bentuk perumahan sedia ada mengambil kira keperluan warga emas?
Sebahagian besar perumahan sedia ada di Malaysia dibina tanpa mengambil kira sepenuhnya keperluan fizikal warga emas.
Kebanyakan rumah dan bangunan bertingkat dibangunkan ketika isu penuaan belum menjadi keutamaan dalam perancangan infrastruktur negara.
Walaupun terdapat usaha ke arah reka bentuk sejagat dalam projek baharu, cabaran utama masih tertumpu kepada stok perumahan lama.
Perkara ini juga sudah dibangkitkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), termasuk keperluan menambah infrastruktur mesra warga emas seperti pemasangan rel pemegang di kawasan perumahan awam.
Apakah ciri-ciri perumahan yang sesuai untuk warga emas?
Berdasarkan dokumen rasmi Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026–2030 yang dikeluarkan KPWKM, aspek perumahan selesa dan mesra warga emas menjadi salah satu fokus utama dalam pelan tindakan berkenaan.
Antara strategi yang digariskan ialah penyediaan perumahan mesra warga emas dengan reka bentuk fizikal yang selamat, akses mudah kepada kemudahan asas, serta persekitaran yang menyokong kehidupan berdikari.
Apakah implikasi jika isu ini tidak ditangani lebih awal?
Peningkatan warga emas akan memberi tekanan lebih besar kepada sistem kesihatan, perlindungan sosial dan ekonomi negara.
Kesiapsiagaan negara perlu meliputi bukan sahaja aspek kesihatan, tetapi juga perumahan mesra warga emas, perlindungan sosial, sokongan komuniti dan persekitaran hidup yang selamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




