Broos belum puas, mahu Afrika Selatan terus melakar sejarah

Broos belum puas, mahu Afrika Selatan terus melakar sejarah

Inglewood: Afrika Selatan mungkin sudah mencipta sejarah apabila mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama, namun pengendalinya, Hugo Broos menegaskan misi pasukannya masih belum selesai.

Jurulatih berusia 74 tahun itu berkata, skuad Bafana Bafana kini memasang impian untuk melangkah lebih jauh apabila berdepan Kanada pada aksi pusingan 32 terbaik di Los Angeles, esok.

Menurut Broos, sasaran utama mereka sebelum kejohanan adalah untuk melepasi saingan peringkat kumpulan dan objektif itu sudah berjaya dicapai.

“Saya fikir kami sudah boleh mengatakan Piala Dunia ini adalah satu kejayaan buat kami.

“Semua orang menjangkakan dan berharap kami layak ke pusingan kedua. Kini kami sudah berada di pusingan kedua.

“Tetapi itu tidak bermakna kami sudah berpuas hati, bermain esok dan kemudian pulang. Apabila anda sudah berada di tahap ini, anda pasti mahukan lebih lagi,” katanya.

Afrika Selatan mara ke pusingan kalah mati hasil kemenangan mengejut 1-0 ke atas Korea Selatan selepas tewas kepada Mexico dalam aksi pembukaan.

Broos percaya anak buahnya perlu mengulangi disiplin, mentaliti dan corak permainan seperti dipamerkan ketika menentang Korea Selatan jika mahu menewaskan Kanada.

Beliau menyifatkan Kanada sebagai pasukan yang memiliki kekuatan fizikal tinggi selain gemar melakukan tekanan agresif sehingga menyukarkan lawan menguasai bola.

“Mereka semua mengejar matlamat yang sama. Sebaik kehilangan bola, semua pemain akan berusaha merampasnya semula. Sangat sukar untuk berdepan pasukan seperti itu,” katanya.

Menurut Broos, pengalaman beraksi di pentas terbesar bola sepak dunia turut membantu pemainnya semakin matang dan kini lebih yakin dengan kemampuan sendiri.

“Perlawanan pertama sangat baik untuk kami. Kini kami percaya kepada diri sendiri,” katanya.

Dalam masa sama, Broos mengakui kejohanan kali ini berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di Piala Dunia dan mungkin juga menutup tirai karier kejurulatihannya.

Beliau berkata, sudah mula merindui keluarga serta cucunya di Belgium, namun sempat berseloroh isterinya memberi ‘lampu hijau’ untuk terus berada di Amerika Syarikat selepas kemenangan ke atas Korea Selatan.

“Isteri saya berkata, ‘Baiklah, awak boleh tinggal seminggu lagi, tiada masalah,” katanya sambil ketawa.

Apa pun kesudahannya nanti, Broos menegaskan seluruh pemain Afrika Selatan bertekad memanjangkan lagi perjalanan mereka di Piala Dunia dengan sekurang kurangnya melepasi satu lagi pusingan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top