PN janji ‘kejutan’ buat rakyat Johor, manifesto diumum dalam masa terdekat

PN janji ‘kejutan’ buat rakyat Johor, manifesto diumum dalam masa terdekat

KOTA BHARU – Setiausaha Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberi bayangan rakyat Johor bakal menerima beberapa tawaran menarik apabila manifesto pilihan raya melibatkan gabungan itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut beliau, dokumen manifesto berkenaan kini berada di peringkat akhir sebelum dilancarkan secara rasmi sebagai tawaran kepada pengundi.

“Kita ada manifesto, akan keluar dalam tempoh terdekat,” katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu malam.

Beliau ditemui ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pas Kawasan Kota Bharu yang dirasmikan Ahli Parlimen Jerantut, Khiril Nizam Khirudin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu bagaimanapun enggan memperincikan kandungan sebenar manifesto tersebut, namun memberi petunjuk akan terdapat elemen mengejutkan.

Katanya, beliau bukan individu yang bertanggungjawab secara langsung terhadap penyediaan manifesto berkenaan kerana urusan itu dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya parti.

Dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, pihaknya sudah membuat persediaan awal menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Scroll to Top