Melaka perkukuh pembangunan TVET untuk masa depan anak muda – Ab Rauf

Melaka perkukuh pembangunan TVET untuk masa depan anak muda – Ab Rauf

Melaka: Kerajaan Negeri Melaka akan terus memperkukuh agenda pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) demi masa depan lebih baik untuk anak muda di negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu dilaksanakan supaya lebih ramai anak muda dapat menguasai kemahiran masa hadapan, memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi dan merebut peluang sedang dibawa masuk ke negeri itu.

“Matlamat kerajaan jelas, mahu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang baik tetapi juga memiliki kemahiran, daya saing dan keyakinan untuk mencipta kejayaan dalam apa jua bidang diceburi.

“Anak muda tidak boleh berada di pinggir pembangunan, sebaliknya mesti menjadi pemain utama dalam kemajuan negeri,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Belia @ Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka di Stadium Jasin, di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka Datuk VP Shanmugam dan Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET Melaka yang juga Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Ab Rauf berkata, pelaburan terbaik sesebuah kerajaan bukanlah hanya pada infrastruktur tetapi pada pembangunan modal insan kerana generasi muda akan menentukan hala tuju negeri dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Hari ini, Melaka memiliki hampir 243,000 belia dan bagi saya angka ini membawa tanggungjawab besar untuk kerajaan memastikan setiap anak muda negeri ini mempunyai akses kepada peluang dan ruang untuk berkembang.

“Atas dasar itu, kerajaan negeri membawa gagasan ‘Melaka Sayang Rakyat’ bagi terus memberi penekanan kepada agenda pembangunan belia melalui pelbagai inisiatif antaranya kebolehpasaran kerja, keusahawanan, pendidikan, pembangunan sahsiah, sosial dan nilai keagamaan,” katanya.

Ab Rauf berkata, sepanjang beliau menerajui pentadbiran negeri, hampir RM70 juta diperuntukkan bagi program pembangunan belia, memperkasakan fasiliti sukan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan generasi muda Melaka.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri juga terus giat membawa masuk pelaburan berimpak tinggi ke Melaka, dengan nilai tertinggi dalam sejarah negeri iaitu RM14.68 bilion berjaya direkodkan pada tahun lalu.

Justeru, beliau berkata, belia di Melaka perlu keluar daripada zon selesa dengan merebut pelbagai peluang disediakan kerajaan sekali gus membuktikan anak jati negeri itu mampu bersaing pada peringkat global.

“Anak muda perlu meneroka masa depan dalam program pembangunan belia sebelum mencapai 30 tahun dengan merebut peluang menerusi pelbagai latihan kepimpinan dan keusahawanan disediakan agar menjadi belia matang dan berdaya saing seterusnya menyediakan masa depan yang lebih baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top