Portal rasmi BUDI Madani terima 13,000 permohonan baharu – MOF

Portal rasmi BUDI Madani terima 13,000 permohonan baharu – MOF

PUTRAJAYA –  Portal rasmi BUDI MADANI setakat 11 pagi ini menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan had kelayakan 100 liter diesel bersubsidi sebulan untuk pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan tambahan itu menjadikan jumlah kelayakan subsidi kepada 300 liter sebulan bagi pemilik kenderaan yang layak.

MOF juga memaklumkan hari pertama akses awal pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia semalam, lancar dengan sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik tanpa aduan atau masalah serius dilaporkan.

“Sepanjang hari pertama akses awal pada 27 Jun 2026, hampir 24,000 transaksi telah direkodkan melibatkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan pelaksanaan akses awal itu sebagai persediaan kepada pelaksanaan penuh BUDI Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai yang membolehkan warganegara yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad.

Menurut MOF, pembaharuan subsidi diesel dilaksanakan bagi memastikan bekalan diesel bersubsidi negara kekal mencukupi untuk rakyat dan sektor yang benar-benar memerlukan selain mengurangkan ketirisan serta memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan yang layak.

“Bagi sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak, subsidi diesel akan terus disalurkan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengikut kategori serta keperluan operasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan kerajaan akan terus memantau pelaksanaan akses awal BUDI Diesel dan menambah baik pelaksanaannya berdasarkan maklum balas rakyat serta industri.

“Orang ramai boleh menyemak status kelayakan, memohon tambahan had kelayakan BUDI Diesel atau mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI manakala permohonan SKDS boleh dibuat melalui portal MySubsidi KPDN,” menurut kenyataan itu.- Bernama 

Scroll to Top