MUDA mahu bersama siapa selepas PRN Johor? – AMK

MUDA mahu bersama siapa selepas PRN Johor? – AMK

JOHOR BAHRU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan hala tuju kerjasama politik Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memandangkan parti itu hanya bertanding empat daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar MUDA sebelum hari pengundian dan bukannya selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Menurutnya, persoalan itu timbul kerana MUDA telah mengumumkan pelbagai cadangan manifesto termasuk memansuhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, namun parti tersebut tidak bertanding dengan jumlah kerusi yang membolehkan mereka membentuk kerajaan.

“DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sesebuah kerajaan memerlukan sekurang-kurangnya 29 kerusi untuk memperoleh majoriti mudah.

“MUDA pula hanya bertanding empat kerusi. Secara matematik dan realiti politik, MUDA tidak mempunyai laluan untuk mentadbir Johor secara bersendirian. Ini bukan soal persepsi tetapi soal angka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, jika MUDA tidak berhasrat membentuk kerajaan sendiri, parti itu perlu menjelaskan kepada rakyat dengan siapa mereka bercadang bekerjasama bagi membentuk kerajaan negeri.

“Adakah bersama Pakatan Harapan (PH)? Adakah bersama Perikatan Nasional (PN)? Adakah bersama Barisan Nasional (BN)?

“Adakah rakyat diminta mengundi dahulu, kemudian barulah MUDA memutuskan kepada siapa mandat itu mahu diserahkan?” soalnya.

Danish berkata, sehingga kini persoalan tersebut gagal dijawab oleh MUDA walaupun rakyat berhak mengetahui sama ada manifesto yang dibawa mampu dilaksanakan.

Jelasnya, rakyat tidak sepatutnya hanya disajikan manifesto yang menarik tanpa menjelaskan realiti politik bakal ditentukan , sama ada janji tersebut boleh direalisasikan atau sebaliknya.

Beliau turut mendakwa Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz sebelum ini pernah mengakui bahawa parti berkenaan tidak mempunyai angka untuk membentuk kerajaan dan manifesto dibawa hanyalah cadangan kepada mana-mana kerajaan yang memerintah.

“Jika demikian, rakyat berhak mengetahui lebih awal kerajaan yang mana satu dimaksudkan,” katanya.

Dalam pada itu, Danish berkata, landskap politik Johor ketika ini turut memperlihatkan dinamik yang berbeza apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man secara terbuka mengarahkan ahli dan penyokong Pas memberikan sokongan kepada calon BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Katanya, kenyataan itu membuktikan bahawa kerjasama pilihan raya boleh berlaku mengikut pertimbangan strategi politik.

“Justeru, persoalan kepada MUDA menjadi semakin penting. Sekiranya selepas pilihan raya MUDA memilih untuk bekerjasama dengan PN, adakah MUDA turut bersedia menerima hakikat bahawa Pas sedang mengarahkan penyokongnya membantu kemenangan calon-calon BN di beberapa kerusi?

“Jika bukan bersama PN, adakah MUDA akan memilih BN? Jika bukan juga BN, adakah akhirnya MUDA akan kembali bersama PH?” soalnya lagi.

Scroll to Top