Kementerian Komunikasi buka dua pusat media, pantau kelajuan internet sempena PRN Johor

Kementerian Komunikasi buka dua pusat media, pantau kelajuan internet sempena PRN Johor

JOHOR BAHRU – Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) membuka dua Pusat Media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada Jumaat hingga hari mengundi iaitu 11 Julai depan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kedua-dua pusat berkenaan yang beroperasi dari jam 9 pagi hingga 9 malam terletak di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Sabak Awor di Muar dan Hotel Seri Malaysia Johor Bahru di Larkin.

Menurutnya, ia bagi memudahkan urusan pengamal media untuk membuat liputan serta penyebaran maklumat. 

Di samping itu katanya, pengamal media juga dialu-alukan untuk menggunakan fasiliti yang telah disediakan di NADI seluruh Johor.

“Sebenarnya ada 100 buah pusat NADI di seluruh negeri ini. Biasanya setiap DUN ada sekurang-kurangnya satu pusat NADI.

“Jadi pengamal media boleh pergi ke sana kerana kami juga jadikan NADI sebagai pusat media sokongan sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya selepas lawatan ke Pusat Media PRN Johor di Hotel Seri Malaysia di sini pada Ahad.

Nie Ching berkata, pihaknya juga akan memastikan kelajuan internet di setiap Pusat NADI tidak kurang 100 Mbps bagi memudahkan pengamal media untuk melaksanakan urusan menghantar gambar dan video.

“Pusat NADI turut dilengkapi fasiliti seperti komputer riba dan mesin pencetak yang boleh diguna pakai.

“Jadi saya percaya bahawa kemudahan-kemudahan seperti ini boleh membantu memudahkan kerja pengamal media,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, Nie Ching memberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau bagi memastikan kelajuan internet berada pada tahap maksimum sepanjang berlangsungnya PRN Johor.

Ini kerana katanya, PRN melibatkan ramai pengguna internet yang mana jumlahnya meningkat secara mendadak di satu-satu tempat. 

“Kami faham sepanjang kempen parti politik terlibat akan menganjurkan ceramah ataupun perhimpunan sehingga menyebabkan penggunaan internet bertambah secara mendadak. Jadi MCMC jakan bersedia untun ke lapangan untuk memantau. 

“Kita juga menggalakkan orang ramai untuk memuat turun MCMC Nexus bagi membantu memantau kekuatan internet di setiap tempat,” tambahnya. 

Bagaimanapun katanya, segala data peribadi tidak akan dikongsi, sebaliknya hanya data organik sahaja diperlukan untuk menambah baik kelajuan internet di kawasan itu. 

“Ketika ini Johor Bahru tidak mempunyai masalah berkaitan liputan internet kerana ia merupakan kawasan bandar.

“Sekiranya terdapat perumahan di kawasan baharu, kita akan meminta MCMC untuk memantau bagi memastikan kemudahan internet disediakan,” katanya.

 

Scroll to Top