Hakim Danish lengkap aksi di kedudukan ketujuh di Assen

Hakim Danish lengkap aksi di kedudukan ketujuh di Assen

PETALING JAYA: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terlepas keputusan podium, namun, dia masih berjaya menamatkan saingan di kedudukan ketujuh pada Grand Prix Motosikal Belanda di Litar Assen, Belanda, hari ini.

Anak jati Terengganu yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 33 minit 56.276 saat (s) untuk membawa pulang sembilan mata berharga.

Pendahulu Kejuaraan Dunia Moto3, Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar Team mengungguli perlumbaan dengan lakaran masa terpantas 33:51.801s.

Berada di kedudukan kedua, pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact-GP, David Almansa (33:52.314s), manakala, rakan sepasukan Quiles, Marco Morelli menamatkan saingan di tempat ketiga (33:54.234s).

Hakim Danish bermula dengan cukup baik apabila berjaya melonjakkan kedudukannya yang bermula dari petak ke-16 ke dalam kelompok pelumba hadapan.

Untuk satu ketika, anak muda berusia 18 tahun itu berada di kedudukan ketiga, tetapi, malangnya jentera KTM yang dipacu secara tiba-tiba kehilangan momentum dan terperangkap di dalam kelompok pelumba yang berada di belakangnya.

Pelumba berbakat besar itu melintas garisan penamat di kedudukan ke-10, tetapi, disebabkan penalti ‘track limit’ yang dikenakan ke atas Joel Kelso, Adrian Fernandez dan Casey O’Gorman, Hakim Danish berjaya melonjak ke tangga ketujuh.

Persaingan sengit di Litar Assen yang terkenal memiliki kombinasi selekoh berkelajuan tinggi dan sempit, benar-benar menguji kecekapan Hakim Danish mengendalikan jenteranya.

Kejayaan Hakim Danish menokok sembilan mata dalam perlumbaan pusingan ke-10 itu, menyaksikan pelumba tersebut kini berada di tempat keenam keseluruhan selepas mengumpul 82 mata dalam senarai pelumba Moto3. – UTUSAN

Scroll to Top