“RAMAI yang cakap saya popular sebab selalu bawa watak mencabar, tapi sebenarnya saya memang orang yang sukakan cabaran. Suka kumpul pengalaman,”
Demikian kata pelakon popular Korea Selatan, Lee Jun-young ketika bercerita mengenai perjalanannya sebagai pelakon. Satu demi satu karakter lakonannya meledak baik dalam drama Weak Hero Class, When Life Gives You Tangerines atau Brave Citizen, Lee bagaimanapun mengakui perjalanan kerjayanya sebagai pelakon banyak dibentuk dan dipengaruhi oleh naskhah yang dihasilkan pembikin Asia termasuklah Malaysia.
“Ya, ramai yang memandang tinggi kandungan dan juga karya dari Korea Selatan. Tapi sebenarnya, negara-negara Asia termasuk Malaysia banyak memberi inspirasi untuk terus maju.
“Saya melihat banyak karya yang baik, memberikan pengaruh positif dan paling penting saya melihat kita semua ibarat bergerak bersama-sama untuk menghasilkan sesuatu yang luar biasa,” katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.
Terus bereksperimen dengan karakter yang lebih kompleks, Lee kini membintangi watak utama drama bersiri Reborn Rookie yang kini ditayangkan di Viu bersama rakan pelakon, Lee Joo-myung.
Menariknya, menerusi watak Hwang Joon Hyeong kali ini, Lee perlu berlakon sebagai lelaki 70 tahun yang terperangkap dalam badan budak berusia 17 tahun.
“Untuk merealisasikan watak itu, saya makan malam bersama pelakon senior Son Hyun-joo. Waktu itu saya banyak berbual dan berbincang dengannya macam mana hendak hidupkan karakter itu.
“Kemudian kami pun sepakat untuk bina ‘tabiat watak’ dan perkara itu yang dikekalkan sepanjang lakonan. Perkara itu diharap akan buat penonton yakin bahawa saya ada jiwa lelaki 70-an.
“Selain itu, pengarah juga banyak membantu dalam persediaan sebelum penggambaran. Saya sedaya upaya cuba untuk lakukan yang terbaik, naskhah ini mencabar, sebab itu saya pilih untuk terlibat dalam projek Reborn Rookie ini,” katanya.

Pertama kali bergandingan bersama, Lee Joo-myung bersyukur kerana mudah membangunkan keserasian bersama Lee Jun-young yang adakalanya bersikap ‘masuk air’ membuatnya sukar menahan ketawa.
“Dalam siri ini saya tidaklah mencabar sangat kalau mahu dibandingkan dengan Jun-young yang perlu bawa dua karakter dalam satu watak.
“Cuma, chemistry kami sangat kuat sebenarnya. Jadi, apabila saya melihat Jun-young yang muda ini berlakon dengan gaya orang tua, ada ketikanya ia sangat melucukan sehingga saya sukar untuk mengekalkan wajah serius,” katanya ketawa.

Seperti pelakon di Malaysia, mereka juga mengakui bahawa sukar melepaskan karakter selepas terlibat terlalu lama dalam sesuatu projek. Bagi kedua-dua pelakon ini, mereka masing-masing mengakui drama bersiri 12 episod ini meninggalkan parut emosi yang dalam sehingga begitu saya berpisah di hari terakhir set penggambaran.
“Tidak tahu kenapa tapi saya rasa macam kehilangan sesuatu yang berharga selepas penggambaran tamat. Saya hampir menangis namun oleh sebab ada kru lain nangis lebih kuat, jadi saya dapat kawal emosi.
“Selain itu, saya dapat pengalaman yang tak saya alami contohnya situasi menjadi seorang ayah yang bercakap kepada anak perempuannya. Adegan itu melibatkan emosi yang dalam dan saya anggap sebagai sesuatu yang ajaib tidak mungkin saya rasa di dunia nyata sekarang ini,” kata Lee Jun-young.
Bagi Lee Joo-myung pula dia mengakui tidak mudah melupakan set Reborn Rookie dalam sekelip mata sekali gus mengakui karakternya, Kang Bang-geul dalam siri ini membuatkan emosi sedihnya terbawa-bawa ke rumah sehingga kini.
Reborn Rookie mengisahkan Kang Yong-ho, pengerusi konglomerat Choiseong Group yang koma selepas menjadi mangsa langgar lari angkara anak-anaknya sendiri. Jiwanya kemudian tersedar di dalam tubuh Hwang Jun-hyeon, seorang pemain bola sepak berusia 17 tahun.
Demi membalas dendam, dia menyamar sebagai pekerja baharu (rekrut) genius di syarikatnya sendiri untuk membongkar kejahatan anak-anaknya dari peringkat bawah.
Drama bersiri 12 episod ini kini ditayangkan menerusi platform penstriman Viu.




