10 tahun lagi wang tunai mungkin tinggal sejarah

10 tahun lagi wang tunai mungkin tinggal sejarah

PERUBAHAN gaya hidup, kemajuan teknologi dan perkembangan pesat teknologi kewangan (FinTech) mengubah corak tingkah laku pengguna di Malaysia apabila semakin ramai mengutamakan urusan yang mudah, pantas dan fleksibel dalam kehidupan seharian.

Daripada membeli-belah, membuat tempahan hinggalah urusan pembayaran, pengguna kini semakin cenderung memilih platform digital yang bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah menawarkan pelbagai pilihan serta nilai yang lebih berbaloi.

Trend tersebut menunjukkan bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah masyarakat yang semakin kurang bergantung kepada wang tunai dalam tempoh sedekad akan datang.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Perbankan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, perkembangan FinTech mendorong pengguna di Malaysia untuk lebih banyak menggunakan transaksi dalam talian kerana ia lebih menguntungkan dan selamat berbanding kaedah konvensional.

Menurutnya, pengguna hari ini semakin mengutamakan kemudahan, pengalaman serta urusan digital dalam membuat keputusan pembelian.

“Mungkin dalam tempoh 10 tahun akan datang, penggunaan wang fiat fizikal tidak lagi wujud kerana semuanya akan beralih kepada pembayaran tanpa tunai.

“Ia selaras dengan perkembangan teknologi dunia, khususnya FinTech yang amat ditekankan oleh kerajaan bagi membolehkan Malaysia mencapai status negara maju.

“Evolusi penggunaan wang juga telah berubah. Jika suatu ketika dahulu pengguna menggunakan wang fiat untuk berurus niaga, kemudian beralih kepada kad kredit dan kad debit, kini mereka menggunakan kod QR, e-dompet, FPX, Touch ‘n Go eWallet, ShopeePay, GrabPay, perbankan dalam talian dan pelbagai lagi.

“Ini membuktikan corak perbelanjaan pengguna akan terus berubah ke arah transaksi tanpa tunai dan pembelian dalam talian pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Bisnes.

Beliau berkata, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan, manakala pelbagai tawaran yang lebih menjimatkan menjadi antara faktor utama perubahan corak tingkah laku dalam urusan harian.

“Ini kerana harga yang ditawarkan melalui platform digital lazimnya lebih murah menerusi pelbagai diskaun, selain menjimatkan masa dan tenaga.

“Pengguna juga mempunyai banyak pilihan tanpa perlu bersesak. Tingkah laku ini turut membantu menjimatkan perbelanjaan lain seperti kos minyak, tol dan perbelanjaan berkaitan perjalanan.

“Pembelian secara digital juga menawarkan lebih fleksibiliti kerana pengguna boleh membuat transaksi pada bila-bila masa tanpa kekangan lokasi, waktu atau keadaan,” katanya.

Kod QR kini menjadi antara kaedah pembayaran digital paling popular. - Foto Agensi

Kod QR kini menjadi antara kaedah pembayaran digital paling popular. – Foto Agensi

Beliau berkata, perubahan tersebut bagaimanapun memberi cabaran kepada perniagaan yang masih bergantung sepenuhnya kepada operasi fizikal, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Katanya, peralihan pengguna ke platform digital dijangka meningkatkan persaingan harga, mengurangkan margin keuntungan serta menyebabkan jualan di premis fizikal terus merosot, walaupun kos operasi seperti sewa dan utiliti kekal tinggi.

“Peniaga perlu membina persepsi kepercayaan dalam kalangan pengguna dengan tidak menipu harga, mengekalkan kualiti barangan, memastikan kualiti perkhidmatan penghantaran serta mengelakkan manipulasi sistem digital untuk meraih keuntungan secara cepat dan berlebihan.

“Jika perkara ini dapat dilaksanakan, pengguna akan terus setia dan jumlah pelanggan berpotensi meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan perubahan tingkah laku pengguna turut membuka peluang baharu kepada usahawan kerana kos memulakan perniagaan secara dalam talian jauh lebih rendah berbanding model konvensional yang memerlukan premis perniagaan.

“Perkembangan ini akan terus merancakkan sektor perniagaan dalam talian pada skala yang lebih besar, sekali gus memberi kesan limpahan kepada sektor pengangkutan, khususnya ekonomi gig, serta sektor perbankan.

“Selain itu, kesan yang lebih penting ialah ia membuka peluang kepada usahawan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat global merentasi sempadan negara kerana pengguna kini mampu membeli barangan tanpa batasan geografi,” katanya.

 

Scroll to Top