lizamridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Cabaran utama dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini bukan lagi isu kekurangan pilihan model, sebaliknya ia beralih kepada tahap keyakinan pengguna sebelum membuat keputusan pembelian berskala besar.
Meskipun pasaran kini menawarkan banyak model EV berbanding lima tahun lalu hasil impak positif polisi pemasangan tempatan (CKD), kadar penembusan EV masih berada pada tahap sekitar lima hingga tujuh peratus daripada keseluruhan jualan kenderaan baharu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wattz Mobility Sdn Bhd, Jack Ong Zi Hao berkata, pihaknya kini tampil merapatkan jurang berkenaan dengan memfokuskan kepada usaha membina keyakinan pengguna melalui pengalaman pemanduan realistik, penyediaan data dipercayai serta sokongan komuniti yang mantap.
Katanya, data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan pendaftaran EV melonjak 105 peratus pada 2025 dengan merekodkan sekitar 30,848 unit, sekali gus membuktikan segmen jualan dan infrastruktur kekal berkembang pesat.
Malah, data awal tahun 2026 menunjukkan momentum ini berterusan dengan pertumbuhan dua angka yang menyaksikan penguasaan pasaran EV mencecah antara tujuh hingga sembilan peratus dalam bulan-bulan tertentu, disokong oleh pemasangan 1,923 pengecas pantas DC setakat awal tahun ini.
“Bagaimanapun, sesi pandu uji singkat di bilik pameran dinilai masih belum memadai untuk menjawab persoalan praktikal pengguna berhubung jarak pemanduan sebenar, kos penyelenggaraan, jangka hayat bateri, nilai jualan semula serta kecekapan mengecas.
“Melalui model sewaan rakan-ke-rakan (peer-to-peer) yang diperkenalkan oleh Wattz, bakal pembeli berpeluang memandu EV selama beberapa hari dalam rutin harian mereka bagi menilai kesesuaian kenderaan itu sebelum melaburkan wang yang besar,” katanya.
Menurutnya, unjuran nilai pasaran EV Malaysia ketika ini dianggarkan mencecah RM6 bilion hingga RM8 bilion, namun peluang ekonomi yang lebih besar sebenarnya terletak pada keupayaan industri mengurangkan ketidakpastian dalam kalangan bakal pembeli menjelang sasaran nasional 2030.
“Mengambil iktibar daripada fasa peralihan tunai kepada pembayaran digital sebelum ini, perubahan tabiat pengguna tidak berlaku sekelip mata hanya kerana kewujudan teknologi, sebaliknya ia didorong oleh rasa selesa dan nilai praktikal dalam kehidupan seharian,” katanya.
Katanya, Malaysia kini berada pada landasan tepat dengan merekodkan 7.6 peratus penembusan EV dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2026, sekali gus menjadikan sasaran 20 peratus elektrifikasi kenderaan menjelang 2030 kekal realistik untuk dicapai.
“Bagi mengukuhkan fasa pertumbuhan seterusnya, industri automotif tempatan kini perlu melihat melampaui aspek harga jualan dengan memberikan penekanan terhadap ketelusan struktur cukai jalan baharu, kos pemilikan jangka panjang serta kebolehpercayaan infrastruktur.
“Sinergi yang lebih erat antara pihak kerajaan, penggiat industri dan pengguna dilihat sebagai formula terbaik untuk mempercepatkan adaptasi EV, khususnya dalam aspek pendidikan awam serta penyediaan data lapangan yang lebih telus bagi membina ekosistem automotif masa depan yang mapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




