Syarat baharu import EV CBU lindungi pelaburan industri automotif tempatan

Syarat baharu import EV CBU lindungi pelaburan industri automotif tempatan

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Langkah kerajaan menetapkan syarat baharu terhadap import kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU) disifatkan penting bagi melindungi pelaburan industri automotif tempatan serta menjamin peluang pekerjaan rakyat.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, syarikat automotif asing dan tempatan sudah melaburkan jutaan ringgit bagi membangunkan kilang pemasangan di Malaysia selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Pelabur asing sudah melaburkan jutaan ringgit untuk membina kilang dan menyediakan peluang pekerjaan di negara ini.

“Pada masa sama, syarikat nasional sudah sekian lama memberi peluang pekerjaan serta berusaha mengeksport kenderaan bagi menjana hasil cukai kepada kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, pengguna automotif tempatan bakal berdepan perubahan besar dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) apabila harga bilik pameran bagi model EV import sepenuhnya (CBU) dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya RM300,000 bermula 1 Julai ini susulan pelaksanaan syarat baharu oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Langkah itu dilihat bakal mengubah landskap pasaran EV negara dengan menamatkan penawaran model EV import mampu milik yang sebelum ini menjadi pilihan segmen pasaran massa.

Hezeri berkata, jika kenderaan import sepenuhnya dibenarkan memasuki pasaran tanpa kawalan dan dijual pada harga yang terlalu rendah, ia boleh memberi kesan besar kepada industri automotif tempatan.

“Kalau kita benarkan unit import masuk dan mereka ‘membuang harga’, negara akan kerugian berbilion ringgit kerana syarikat tempatan dan kilang-kilang akan ditutup.

“Apabila negara terkesan, rakyat juga akan menerima kesannya. Jangan kerana mahu membeli kereta lebih murah, kita sanggup menggadaikan kepentingan negara,” katanya.

Jelasnya, kerajaan tidak seharusnya melindungi syarikat automotif nasional secara berterusan kerana tindakan itu boleh menjejaskan daya saing industri.

“Kerajaan perlu berusaha membuka pasaran secara berperingkat dan tidak terlalu melindungi syarikat nasional. Jika perlindungan diberikan terlalu lama, ia akan menghalang mereka daripada menjadi lebih berdaya saing.

“Apabila pasaran dibuka kelak, insentif wajar terus diberikan kepada kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bagi memastikan pelaburan dan peluang pekerjaan dalam industri automotif negara terus terpelihara,” katanya.

Katanya, pasaran perlu dibuka pada masa hadapan, namun kenderaan CKD wajar terus menerima insentif supaya kita dapat mengekalkan peluang pekerjaan serta mengukuhkan ekosistem automotif tempatan.

“Amalan mengenakan sekatan terhadap kenderaan import sepenuhnya bukan sesuatu yang luar biasa kerana banyak negara turut melaksanakan dasar sama bagi melindungi industri automotif masing-masing.

“Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, United Kingdom, Thailand, Singapura dan negara-negara Eropah juga mempunyai sekatan terhadap kenderaan CBU,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top