Lelaki pecah rekod jeritan terkuat

Lelaki pecah rekod jeritan terkuat

Canberra, Australia: Seorang penyampai pengumuman di sebuah bandar di Australia diiktiraf Rekod Dunia Guinness (GWR) selepas mencatat rekod dunia baharu bagi jeritan paling kuat oleh seorang individu, lapor Anadolu Ajansi.

Joseph McGrail-Bateup, penyampai pengumuman bandar rasmi Canberra, merekodkan jeritan 122.4 desibel bagi perkataan ‘now’ (sekarang).

Ia sekali gus mengatasi rekod sebelumnya iaitu 121.7 desibel yang dicatat pada 1994.

Susulan itu, GWR mengesahkan pencapaian itu selepas meneliti rakaman yang dibuat di sebuah studio radio di Canberra pada 2 Mei lalu.

Rekod sebelumnya dipegang oleh Annalisa Flanagan yang menjerit perkataan ‘quiet’ (diam) pada 121.7 desibel lebih tiga dekad lalu.

Dalam pada itu, McGrail-Bateup berkata, percubaan itu mengambil tujuh kali cubaan dan menyebabkan suaranya tegang selama beberapa hari.

“Ia mengambil tujuh percubaan hanya untuk satu perkataan,” katanya.

Katanya, usaha itu tidak boleh dilatih secara realistik kerana tekanan pada suara.

Lelaki berusia 58 tahun itu bekerja sebagai pencuci penyaman udara, dan menjadi penyampai pengumuman bandar kehormat Canberra sejak 2017.

Difahamkan, dia memegang gelaran upacara Lord Joseph dan mengumumkan acara komuniti serta menyertai pertandingan anjuran Ancient and Honorable Guild of Australian Town Criers.

McGrail-Bateup sebelum ini memenangi pertandingan pada 2024 bagi laungan tradisional ‘Oyez, Oyez, Oyez’.

Pencapaian baharu itu adalah rekod GWR keduanya selepas rekod pada 2019 untuk masa terpantas melepaskan 10 anak panah.

Penyampai pengumuman bandar secara sejarah berfungsi sebagai penyampai umum sebelum kewujudan surat khabar dan kini kebanyakannya bersifat simbolik dalam upacara tradisi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top