Tak kejar jawatan! Calon termuda PRN Johor cuma idolakan PM Anwar dalam politik

Tak kejar jawatan! Calon termuda PRN Johor cuma idolakan PM Anwar dalam politik

Bukan mengejar jawatan atau populariti, sebaliknya mahu berkhidmat kepada rakyat. Itulah prinsip calon termuda Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Danish Hossman Abd Rahman yang mengakui hanya mempunyai seorang idola dalam dunia politik iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

kecekalan PM Anwar perjuang hak rakyat jadi inspirasi

Memetik laporan daripada Bernama, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama berusia 23 tahun itu menyatakan kecekalan Anwar memperjuangkan hak rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran menjadi inspirasi terbesar buat dirinya untuk menceburi bidang politik.

“Sejujurnya idola saya cuma seorang sahaja dalam politik ini, Datuk Seri Anwar. Kita tengok kerjaya politik beliau daripada mula adalah untuk memperjuangkan hak-hak rakyat sehingga dibuang jawatan dan dipenjarakan.
“Saya datang pada zaman ekonomi lebih stabil dan ringgit semakin baik. Saya tidak rasa kesusahan dilalui beliau tetapi saya sangat menghormati beliau yang bertahan selama puluhan tahun demi memperjuangkan rakyat,” katanya dalam satu temu bual.

Minat politik sebab dibesarkan dalam suasana politik juga

Penuntut Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu menambah, minatnya terhadap politik bukan muncul secara tiba-tiba kerana beliau dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam bidang berkenaan.

“Saya lahir dalam keluarga politik. Datuk saya ketua UMNO, manakala bapa saya Ketua Cabang PKR Pontian selama 10 tahun.
“Saya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa didedahkan mengenai politik, ekonomi dan masalah rakyat. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menceburi politik,” katanya.

Danish Hossman yang juga Setiausaha Cabang PKR Pontian dan Anggota Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menegaskan, matlamatnya bukan mengejar nama atau jawatan, sebaliknya mahu menjadi wakil rakyat yang benar-benar mendengar suara masyarakat.

“Idea baharu kita boleh berikan, pengalaman yang lama kita boleh bawa tetapi apa-apapun matlamat utama kita ialah menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang bekerja dan mendengar isu rakyat. Itu yang penting,” katanya.

Difahamkan, pada PRN Johor kali ini, Danish Hossman akan berdepan saingan tiga penjuru di DUN Johor Lama dan yakin pengundi kini lebih matang dalam menilai maklumat serta prestasi setiap parti.

Sumber: Bernama 

Scroll to Top