SEREMBAN: Kerajaan menyasarkan seramai 25,000 golongan belia menyertai program Bakat Madani yang menawarkan pembangunan kemahiran, peluang pekerjaan berkualiti serta mobiliti sosial yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan hasil kerjasama strategik antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), dan Petronas serta institusi pengajian tinggi bagi memperkasa bakat tempatan dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurutnya, program tersebut bukan sekadar menyediakan latihan dan peluang pekerjaan malah membuka ruang kepada golongan muda daripada pelbagai latar belakang untuk meningkatkan taraf hidup.
“Selain usaha yang dilakukan oleh kementerian dan jabatan kerajaan, inisiatif ini memperlihatkan komitmen syarikat-syarikat korporat yang bersama-sama menjayakan program ini.
“Secara keseluruhannya, Bakat Madani membuka peluang kepada 25,000 anak muda, khususnya mereka di institusi pengajian tinggi. Tidak banyak negara mampu menyediakan ruang dan peluang seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bakat Madani di Bandar Sri Sendayan, di sini, hari ini.
Anwar berkata, kestabilan politik, perpaduan rakyat dan pertumbuhan ekonomi merupakan asas penting bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk generasi muda.
Katanya, kerajaan akan terus memastikan manfaat pembangunan dinikmati secara adil termasuk oleh golongan dari komuniti luar bandar serta kawasan yang kurang mendapat akses kepada peluang pendidikan dan pekerjaan.
“Keadilan bukan sekadar memberi peluang untuk bersaing tetapi memastikan mereka yang berada dalam keadaan serba kekurangan turut diberikan akses kepada kemudahan dan latihan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mahu memastikan pembangunan bakat negara tidak hanya tertumpu kepada golongan tertentu, sebaliknya membuka peluang kepada semua rakyat untuk menyertai program tersebut.
Perdana Menteri dalam pada itu berkata, kerajaan akan terus menambah baik sistem latihan dan pembangunan bakat bagi memastikan tiada ketidakpadanan antara kemahiran graduan dengan keperluan industri.
“Kalau ada ketidakpadanan kemahiran, kita baiki. Kalau perlu latihan tambahan, kita sediakan. Yang penting anak-anak kita mempunyai peluang memperoleh pekerjaan yang berkualiti.
“Saya mahu anak-anak yang berjaya dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital terus mengingati nilai, budaya serta pengorbanan ibu bapa.
“Jangan lupa asal-usul, jangan menjadi sombong dan angkuh apabila sudah berjaya. Kejayaan sebenar ialah apabila kita terus merendah diri dan menghargai pengorbanan keluarga,” katanya. – UTUSAN




