Cemburu dipercayai punca ejen hartanah pukul teman wanita

Cemburu dipercayai punca ejen hartanah pukul teman wanita

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gagal kawal perasaan kerana cemburu dipercayai punca seorang ejen hartanah memukul teman wanitanya di stesen bas Aliran Transit Massa (MRT) Maluri, Cheras di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 20-an membuat ugutan jenayah dan mencederakan mangsa pada 21 Jun lalu.

“Bertindak atas laporan, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D7 Cheras menahan suspek pada 22 Jun, jam 6.54 petang di perkarangan IPD Cheras.

“Siasatan mendapati cemburu dipercayai motif kejadian itu. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah.

Katanya, suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan bagi tindakan selanjutnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top