Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi luahan mengenai perjalanan enam tahun berdepan kes mahkamah, sehari sebelum Mahkamah Persekutuan dijadualkan membuat keputusan muktamad terhadap rayuan pendakwaan.
Enam tahun sudah melawan
Menerusi satu hantaran di media sosial, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan beliau tidak pernah meminta penangguhan kes, layanan istimewa atau jalan pintas sepanjang proses perundangan yang dihadapinya.
“Enam tahun saya melawan demi keadilan.
Sepanjang enam tahun ini, saya tidak pernah minta kes ini ditangguh.
Saya tidak pernah minta jalan pintas. Saya tidak pernah minta layanan istimewa.
I faced it head on. I dared to fight, because my conscience is clear,” tegasnya.
Lakukan segala-galanya untuk pertahan kebenaran
Menurut Syed Saddiq, beliau telah melakukan segala yang termampu untuk mempertahankan kebenaran dan kini menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.
“Saya sudah pertahankan kebenaran dengan segala kudrat.
Kini, saya serahkan seluruhnya kepada Allah SWT kerana selepas manusia berusaha, Allah-lah sebaik-baik Penentu,” ujarnya lagi.

Keputusan Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan esok akan menentukan sama ada Syed Saddiq kekal bebas sekiranya rayuan pendakwaan ditolak atau berdepan hukuman penjara jika mahkamah memihak kepada hujahan pendakwa raya.
Keputusan itu juga dijangka memberi impak besar terhadap kerjaya politik beliau kerana jika sabitan dikekalkan, Syed Saddiq berkemungkinan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Muar serta tidak layak bertanding dalam pilihan raya berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seseorang hilang kelayakan menjadi calon atau kekal sebagai Ahli Parlimen sekiranya dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sumber: Instagram syedsaddiq




