Gandingan YDPA, Anwar pacu kestabilan, perpaduan dan ekonomi Johor – Penganalisis

Gandingan YDPA, Anwar pacu kestabilan, perpaduan dan ekonomi Johor – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Gandingan kepimpinan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan berjaya mewujudkan kestabilan politik yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan perpaduan serta pertumbuhan ekonomi di Johor.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Universiti Malaya, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, Johor kini berada pada fasa penting dalam landskap politik, pentadbiran dan pembangunan ekonominya.

Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi negeri itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada kepimpinan yang stabil, hubungan harmoni antara institusi serta keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju negara.

“Johor dan Malaysia hari ini boleh dianggap bertuah kerana berada di bawah dua institusi kepimpinan yang mempunyai matlamat sama, iaitu memastikan negeri dan negara terus maju dalam suasana yang stabil, tersusun dan diyakini.

“Melalui kewibawaan Sultan Ibrahim sebagai payung penyatuan negara, baginda bukan sahaja membawa pengalaman luas mentadbir Johor, malah menampilkan kepimpinan yang dekat dengan rakyat, tegas mempertahankan kepentingan negara serta sentiasa menekankan perpaduan sebagai asas kemajuan.

“Pada masa sama, kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut memberi penekanan terhadap kestabilan politik, peningkatan keyakinan pelabur dan pembangunan ekonomi yang lebih tersusun,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kerjasama erat antara institusi Diraja dan kerajaan dalam mentadbir negara turut menghantar isyarat jelas mengenai kestabilan kepada rakyat dan pelabur.

Katanya, keadaan itu meningkatkan keyakinan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang aman, diyakini serta mempunyai prospek ekonomi yang cerah.

Menurut beliau, Johor merupakan contoh terbaik apabila negeri itu bukan sahaja memainkan peranan penting dari sudut politik, malah semakin menyerlah sebagai enjin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Kedudukan Johor yang bersempadan dengan Singapura, pembangunan infrastruktur yang pesat serta kemasukan pelaburan yang memberangsangkan menjadikan negeri ini antara yang paling strategik dalam menentukan masa depan ekonomi negara.

“Lebih penting, kestabilan politik yang dinikmati Johor telah membantu membentuk suasana perpaduan yang lebih matang dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Tawfik berkata, rakyat kini bukan sekadar menilai pembangunan melalui projek fizikal, sebaliknya mengharapkan hasil daripada kepimpinan yang mampu memelihara hubungan baik antara institusi Diraja, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan masyarakat.

Katanya, kekuatan sebenar Johor terletak pada gabungan tradisi institusi Diraja yang dihormati, pentadbiran yang stabil serta ekonomi yang terus berkembang.

“Justeru, kejayaan Johor hari ini wajar dilihat sebagai hasil gabungan kebijaksanaan institusi Diraja, kepimpinan nasional yang mengutamakan kestabilan serta keupayaan kerajaan negeri menterjemahkan dasar kepada manfaat rakyat.

“Jika momentum ini dapat dikekalkan, Johor bukan sahaja akan terus menjadi negeri penting dalam landskap politik negara, malah berpotensi muncul sebagai model kestabilan, perpaduan dan pertumbuhan ekonomi kepada negeri-negeri lain,” katanya.

Scroll to Top