PUTRAJAYA: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyokong inisiatif Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Kempen Geng Bijak Tenaga bagi membantu rakyat memahami bil dan corak penggunaan elektrik, selain menggalakkan amalan penggunaan tenaga secara lebih bijak dan cekap.
Pelancaran kempen itu disempurnakan Timbalan Menteri PETRA, Dato’ Sri Haji Abdul Rahman Haji Mohamad, pada Sesi Perjumpaan Timbalan Menteri PETRA bersama warga PETRA bagi September 2026 di Dewan Baiduri, Menara PETRA, di sini, semalam.
Turut hadir Ketua Setiausaha PETRA, Dato’ Sri Haji Mad Zaidi Mohd Karli; Timbalan Ketua Setiausaha (Air) PETRA, Dato’ Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri; Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) PETRA, Dato’ Mohd Norhisham Musa dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad.
Kempen berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan kecekapan tenaga ketika negara turut berdepan cabaran Krisis Bekalan Global (KBG) yang memberi tekanan terhadap kos tenaga.
Menerusi kempen itu, rakyat digalakkan memahami dan memantau corak penggunaan elektrik di rumah serta menggunakan tenaga mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran.
Sebagai sebahagian daripada kempen, pelanggan domestik TNB yang layak digalakkan mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kilowatt jam (kWj) dan ke bawah sebulan bagi Oktober dan November 2026.
Sasaran itu diharap dapat mendorong pelanggan domestik mengenali corak penggunaan elektrik di rumah, selain mengenal pasti ruang untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.
Bagi menggalakkan penyertaan dan perubahan tabiat penggunaan tenaga, kempen ini menyediakan insentif keseluruhan bernilai RM200,000 kepada 2,000 pelanggan domestik yang memenuhi terma, syarat dan kriteria ditetapkan.
Setiap penerima akan menerima Touch ‘n Go Reload PIN bernilai RM100.
Elak pembaziran guna elektrik
Antara kriteria pemilihan adalah mengekalkan penggunaan elektrik pada paras 600 kWj dan ke bawah selama dua bulan berturut turut, mempunyai akaun TNB aktif sekurang kurangnya 12 bulan serta mencatat peratus pengurangan penggunaan elektrik tertinggi berdasarkan perbandingan purata penggunaan sepanjang tempoh kempen dengan purata penggunaan bagi dua bulan sebelumnya.
Selain insentif penyertaan, kempen ini turut memberi penekanan terhadap aspek pendidikan menerusi perkongsian dan peringatan berkaitan tabiat penggunaan tenaga bagi membantu rakyat membina amalan lebih cekap dalam kehidupan seharian.
Penggunaan tenaga secara bijak tidak bermaksud mengorbankan keselesaan, sebaliknya mengelakkan pembaziran dan menggunakan elektrik mengikut keperluan.
Apabila diamalkan secara bersama di setiap rumah, perubahan kecil berkenaan mampu memberi manfaat lebih besar kepada rakyat, selain membantu penggunaan sumber tenaga negara secara lebih berhemah.
Pendaftaran kempen dibuka mulai 10 September ini kepada pelanggan domestik TNB yang layak.
Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan pendaftaran boleh diperoleh menerusi laman web rasmi Geng Bijak Tenaga di www.gengbijaktenaga.my.
TNB akan menilai dan mengesahkan penggunaan elektrik peserta bagi Oktober dan November 2026 sebelum mengumumkan 2,000 penerima yang memenuhi kriteria kempen pada Disember ini.
PETRA berharap Kempen Geng Bijak Tenaga dapat meningkatkan kefahaman rakyat mengenai bil dan penggunaan elektrik, selain membudayakan amalan penggunaan tenaga secara lebih bijak dan cekap.
Amalan mengelakkan pembaziran dan menggunakan elektrik mengikut keperluan bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah menyumbang kepada penggunaan sumber tenaga negara secara lebih berhemah demi kesejahteraan bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd
