Isu tersebut merujuk kepada pengumuman Nga pada 25 Jun lalu, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon mengenai peruntukan berjumlah RM216.44 juta oleh Kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek perumahan, kemudahan awam serta kebajikan komuniti di Johor.
Foto arkib: Nga Kor Ming
Daripada jumlah itu, RM2.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih 10 blok Flat Taman Ungku Tun Aminah di Skudai. Pengumuman tersebut kemudiannya dijadikan bahan kempen oleh calon DAP bagi kerusi Skudai, J Kartiyani.
Menjawab isu itu di Dewan Rakyat, Anwar menegaskan pengumuman berkenaan tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan pilihan raya kerana peruntukan tersebut telah diluluskan menerusi belanjawan yang dibentangkan tahun lalu.
Mengulas mengenai pengumuman projek kerajaan secara umum, beliau berkata, perkara itu telah dirujuk kepada Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan bahawa pengumuman projek baharu tidak dibenarkan sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Foto arkib: Nga Kor Ming
Namun begitu, menurut beliau, pengumuman yang dibuat sebelum hari penamaan calon adalah dibenarkan.
Seksyen 24B Akta Kesalahan Pilihan Raya memperuntukkan perkara berkaitan aktiviti berkempen seperti penganjuran perhimpunan dan penggunaan bahan kempen, tanpa menyentuh secara khusus mengenai pengumuman projek kerajaan.
Dalam pada itu, Seksyen 10(a) akta yang sama menetapkan bahawa menjadi satu kesalahan untuk menawarkan, menjanjikan atau memberikan wang atau apa-apa balasan bernilai kepada pengundi bagi mempengaruhi undi, sama ada sebelum, semasa atau selepas pilihan raya.
Walaupun demikian, Akta Kesalahan Pilihan Raya sering dianggap mempunyai kelemahan dari sudut penguatkuasaan kerana SPR tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman terhadap pelanggaran di bawah akta tersebut.
Sumber: Malaysiakini




