Paraguay cuti umum rai kemenangan tumbangkan Jerman

Paraguay cuti umum rai kemenangan tumbangkan Jerman

ASUNCION: Paraguay mengisytiharkan cuti umum bagi meraikan kejayaan bersejarah menyingkirkan gergasi Eropah, Jerman menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026, sekali gus mencetuskan pesta besar-besaran di seluruh negara.

Ribuan penyokong membanjiri jalan-jalan utama di Asuncion sambil mengibarkan bendera dan berarak dengan kenderaan sebagai tanda meraikan kemenangan yang menyaksikan Paraguay hanya mencatat kemenangan kedua dalam sejarah aksi kalah mati Piala Dunia.

Presiden Paraguay, Santiago Pena turut berkongsi kegembiraan rakyat menerusi media sosial apabila mengumumkan cuti umum sambil menegaskan skuad La Albirroja tidak pernah mengenal erti mengalah.

“Paraguay tidak pernah berputus asa dan kemenangan ini milik seluruh rakyat negara ini.

“Kita akan meraikannya dengan cuti umum kerana detik seperti ini wajar dikenang,” kata Pena.

Jerman yang tidak pernah tewas dalam penentuan sepakan penalti di pentas Piala Dunia akhirnya tersungkur apabila Paraguay lebih tenang menyempurnakan sepakan untuk mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik.

Kemenangan itu membuka laluan buat Paraguay berdepan Perancis sekiranya juara dunia 2018 itu berjaya menewaskan Sweden pada aksi pusingan 32 terbaik.

“Pasukan ini melakukan apa yang paling kami mahir iaitu bertahan dengan sepenuh hati sepanjang perlawanan dan sehingga masa tambahan kerana kami tidak pernah berhenti berjuang,” kata penyokong, Amado Salomon.

“Bersama Paraguay, kami memang perlu menderita sehingga minit terakhir kerana itulah identiti kami,” ujar seorang lagi penyokong, Luis Espinola. – AGENSI

Scroll to Top