am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Institut Integriti Malaysia (IIM) berhasrat memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media bagi memastikan mesej pembudayaan integriti dapat disampaikan secara lebih meluas dan berkesan kepada seluruh lapisan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Noridah Abdul Rahim berkata, media bukan sekadar saluran penyebaran maklumat, malah berperanan sebagai rakan strategik dalam merapatkan jurang komunikasi, selaras pelaksanaan Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES) yang dilancarkan baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan agenda pembudayaan integriti bergantung kepada kerjasama semua pihak, termasuk media yang berperanan penting menyampaikan naratif integriti kepada masyarakat secara meluas.
“Melalui kaji selidik yang dijalankan sebelum ini, kita mendapati masih wujud jurang komunikasi dalam penyampaian mesej berkaitan integriti.
“Justeru, media memainkan peranan yang sangat penting untuk memastikan mesej ini dapat disampaikan dan difahami jelas oleh seluruh rakyat.
“Usaha membudayakan integriti bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau IIM semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan nilai integriti benar-benar menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjunga ke Balai Berita di sini, hari ini.
Kata Noridah, pertemuan selama dua jam itu turut membuka ruang kepada IIM untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai ekosistem Media Prima, termasuk platform digital yang berpotensi dimanfaatkan bagi memperluaskan penyampaian mesej pembudayaan integriti.
“Kami turut membentangkan keperluan dan kumpulan sasar IIM supaya kedua-dua pihak dapat mencari titik pertemuan bagi membentuk kerjasama strategik yang mampan pada masa depan,” katanya.
Noridah berkata, isu integriti kini dilihat semakin mencabar berikutan perkembangan pesat teknologi digital yang membuka ruang kepada bentuk penyelewengan baharu, berbeza dengan cabaran terdahulu yang lebih tertumpu kepada kelemahan tadbir urus dan prosedur kerja.
Menurutnya, sehubungan itu, IIM kini memberi penekanan kepada pendekatan tadbir urus insan sebagai pelengkap kepada tadbir urus organisasi yang lebih menumpukan aspek pematuhan terhadap peraturan serta penguatkuasaan.
“Kita bukan sekadar mahu orang mematuhi peraturan kerana takut dikenakan tindakan, tetapi mahu membentuk nilai integriti yang menjadi sebahagian daripada diri seseorang.
“Selain itu, pendekatan untuk mendekati kumpulan sasar golongan muda juga perlu berubah mengikut kesesuaian. Kita tidak boleh terlalu formal.
“IIM perlu berevolusi dari segi cara penyampaian termasuk memanfaatkan platform digital secara lebih santai,” katanya.
Kata Noridah, menerusi NIES, IIM juga membangunkan modul integriti kanak-kanak dan modul integriti keluarga bagi memupuk nilai integriti dalam individu sejak usia muda.
Menurut beliau, teknologi kecerdasan buatan (AI) turut dimanfaatkan bagi membantu menganalisis data, mengukur keberkesanan program serta menilai tahap kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif pembudayaan integriti yang dilaksanakan.
“Fokus utama kami tahun ini adalah untuk memastikan penyampaian nilai integriti itu bermula dari peringkat paling bawah iaitu kanak-kanak dan institusi keluarga.
“Oleh itu, mesej dan pembudayaan integriti ini tidak boleh bersifat bermusim, ia memerlukan usaha berterusan daripada semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




