RANTAU PANJANG: Seorang lelaki warga emas dicekup Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas cuba menyeludup 1,530 kilogram minyak masak ke Thailand dalam serbuan di pangkalan haram Mat Yeh, Jeram Perdah, di sini hari ini.
Suspek berusia 63 tahun dicekup selepas memandu sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.30 tengah hari,
Komander Briged Tenggara Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, semasa melakukan rondaan rutin di Kampung Bukit Lata, Jeram Perdah anggota bertugas mengesan sebuah kenderaan memasuki kawasan pangkalan haram.
Katanya, anggota bertugas terus menahan pacuan empat rodaan tersebut untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan tersebut telah menemukan 1,530 kg minyak masak. Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak masak sejak kira-kira setahun lalu dengan berperanan sebagai pemandu kenderaan penghantaran.
“Suspek mendakwa menerima upah sebanyak RM50 bagi setiap penghantaran daripada seorang lelaki yang dipercayai mengatur operasi penghantaran tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN




