PERHILITAN sahkan penggunaan gajah Sanum, Mekna ikut SOP

PERHILITAN sahkan penggunaan gajah Sanum, Mekna ikut SOP

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penggunaan gajah Sanum dan Mekna dalam perarakan pada Program Komuniti Madani Kampung Pasir Tumboh di Kelantan baru-baru ini dijalankan mengikut prosedur operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, pihaknya menerima permohonan daripada penganjur pada 25 Mei lalu.

“PERHILITAN Semenanjung Malaysia mengambil maklum mengenai video tular di media sosial yang memaparkan penggunaan gajah dalam satu majlis di Pasir Tumboh, Kelantan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa pihak PERHILITAN sememangnya mempunyai SOP

Pengendalian Program Perarakan Gajah.

“PERHILITAN menerima permohonan pameran gajah dan hidupan liar sempena Program Komuniti MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Permit Khas yang bersidang pada 16 Jun lalu sudah meneliti permohonan berkenaan lalu meluluskannya berdasarkan SOP yang sudah ditetapkan.

Katanya, pemeriksaan kesihatan dan proses penentuan gajah yang dibawa dilaksanakan oleh pihak PERHILITAN berdasarkan garis panduan sedia ada.

“Penilaian kebajikan gajah dijalankan sebelum, semasa dan selepas program termasuk sepanjang tempoh pengangkutan, penyediaan dan penggunaan gajah dalam majlis tersebut sudah dilaksanakan.

“Namun PERHILITAN cakna dan prihatin di atas maklum balas daripada masyarakat sivil dan rakyat Malaysia secara umum berkenaan isu kebajikan gajah yang dibangkitkan dan akan menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menambah baik SOP sedia ada,” katanya.

Menurutnya, PERHILITAN akan turut merujuk perkara itu kepada Unit Integriti Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Bahagian Penyiasatan Tatakelola, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu memperkemaskan SOP secara menyeluruh.

Abdul Kadir berkata, sebagai agensi utama bertanggungjawab ke atas kesejahteraan dan pemuliharaan hidupan liar, pihaknya komited dalam memelihara haiwan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada khazanah negara.

Katanya, orang awam digesa untuk bersama-sama memainkan peranan menyebarkan maklumat yang sahih dan tepat bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top