Sifar kes penipuan, badal haji musim ini

Sifar kes penipuan, badal haji musim ini

SEPANG: Tiada kes penipuan pakej haji mahupun badal haji direkodkan sepanjang musim 1447H/2026M hasil pemantauan bersepadu yang dilaksanakan pihak berkuasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, kejayaan itu dicapai menerusi pemantauan secara menyeluruh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selain tindakan pengawasan terhadap iklan serta tawaran di platform media sosial.

Katanya, langkah berkenaan dilaksanakan bagi membanteras sindiket penipuan pakej haji yang sering mengambil kesempatan terhadap bakal jemaah setiap kali musim haji.

“Alhamdulillah, hasil kerjasama bersepadu antara TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, tahun ini kita merekodkan sifar kes penipuan.” katanya dalam sidang akhbar selepas menyambut ketibaan kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata, pencapaian itu juga membuktikan keberkesanan usaha kempen kesedaran yang dijalankan secara berterusan bagi melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Menurutnya, kerajaan akan meneruskan kerjasama strategik dengan TH, PDRM dan agensi berkaitan bagi memastikan sindiket penipuan haji dapat dibendung pada musim-musim akan datang.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mendapatkan maklumat berkaitan urusan haji melalui saluran rasmi TH serta tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang menjanjikan kuota haji atau pakej pada harga yang mencurigakan.

Tambahnya, mereka turut berjaya mengurangkan kadar bakal jemaah yang menangguhkan pemergian ke Tanah Suci daripda 50 peratus kepada 18 peratus kes hasil pelaksanaan pelbagai langkah penambahbaikan.

“Pengurangan itu dicapai selepas TH mengambil beberapa langkah proaktif termasuk memberi notis lebih awal kepada bakal jemaah serta meningkatkan khidmat nasihat dan persediaan sebelum musim haji. – UTUSAN

Scroll to Top