am@hmetro.com.my
Mukah: Seorang pesara kerajaan kerugian RM914,209, selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan menerusi sistem dagangan automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 56 tahun itu pada jam 2.20 petang semalam.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati mangsa tertarik dengan iklan pelaburan yang dipromosikan menerusi Facebook oleh sebuah syarikat menggunakan nama Arctic Tern Advisory pada 22 Disember 2025.
“Mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu dikenali sebagai ‘Kamil’ sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang dikendalikan beberapa individu lain yang mendakwa mewakili syarikat pelaburan berkenaan.
“Mangsa dipujuk menyertai pelaburan melalui platform dikenali sebagai Setia Capital Trading dengan modal permulaan RM300,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek mendakwa pelaburan itu diurus menggunakan sistem AI Robot Auto-System Trade yang kononnya mampu menjana keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Bagi meyakinkan mangsa, suspek memaparkan keuntungan pelaburan yang kononnya meningkat kepada RM87,124. Namun, sebelum keuntungan itu boleh dikeluarkan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran termasuk redemption fee, bank security protection, upgrade limit dan caj lain atas alasan bagi memproses pengeluaran dana.
“Suspek turut memberi jaminan semua bayaran itu akan dipulangkan bersama keuntungan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa yang mempercayai tawaran berkenaan melakukan sebanyak 88 transaksi ke 32 akaun individu berbeza membabitkan enam bank dalam tempoh 22 Disember 2025 hingga 6 Mac 2026, dengan jumlah keseluruhan RM914,209.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh sebarang keuntungan mahupun mendapatkan semula modal pelaburan sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Muhamad Rizal menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran pelaburan yang dipromosikan di media sosial tanpa membuat penelitian terlebih dahulu.
Beliau berkata, orang ramai disaran menyemak status syarikat dan platform pelaburan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) serta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), selain mendapatkan pengesahan daripada agensi berkaitan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




