Keputusan bedah siasat sahkan kanak-kanak autistik meninggal dunia akibat lemas, tiada unsur jenayah

Keputusan bedah siasat sahkan kanak-kanak autistik meninggal dunia akibat lemas, tiada unsur jenayah

Bagan Datuk: Keputusan bedah siasat mengesahkan kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang ditemui meninggal dunia di dalam longkang berhampiran rumahnya di Sungai Sumun, Hutan Melintang di sini, akibat lemas.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, pemeriksaan forensik yang dijalankan di Hospital Teluk Intan mendapati punca kematian adalah lemas, tanpa sebarang tanda kecederaan fizikal atau unsur jenayah.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dilaporkan hilang pada jam 4.54 petang semalam dari rumah keluarganya di Kampung Baru Sungai Sumun.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak autistik itu kali terakhir dilihat oleh bapanya di ruang tamu rumah mereka.

“Apabila menyedari mangsa tiada, ahli keluarga dengan dibantu penduduk melakukan pencarian di kawasan sekitar namun gagal menemuinya sebelum bertindak membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan itu, beliau berkata, polis membuka pos kawalan tempat kejadian dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Bagan Datuk, Unit K9 Kontinjen Polis Perak serta penduduk kampung.

“Pada jam 10 malam hari yang sama, kanak-kanak itu ditemui terapung di dalam longkang kira-kira 330 meter dari rumahnya. Mangsa ditemui dalam keadaan masih berpakaian lengkap semasa pasukan SAR mengeluarkan mayat.

“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal atau petunjuk yang dikaitkan dengan unsur jenayah. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat, yang kemudiannya mengesahkan punca kematian adalah lemas,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

“Polis menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta orang ramai yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

“Kami juga menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih mengenai insiden ini demi menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top