am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Dakwaan DAP bahawa sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) Johor goyah susulan perkembangan politik semasa disifatkan tidak berasas.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN ketika ini hanya berdepan isu kecil di dua daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 (PRN-16).
Beliau berkata, masalah yang dikenal pasti di DUN Rengit berjaya diselesaikan manakala perkembangan di DUN Layang-Layang pula terus dipantau bagi memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar.
“Setakat ini, saya melihat hanya kira-kira tiga peratus sahaja isu yang timbul iaitu di Rengit dan Layang-Layang.
“Daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, 54 lagi tidak menghadapi sebarang masalah.
“Kes di Rengit sudah selesai manakala di Layang-Layang kita terus memantau dan memastikan calon BN daripada MCA mendapat kemenangan,” katanya ketika ditemui pada sesi walkabout calon BN, Datuk Zulkurnain Kamisan di Parit Jawa, di sini, semalam.
Ahmad berkata, keyakinan itu dibuat berdasarkan pemerhatiannya sendiri selepas turun padang berkempen di sebahagian kawasan DUN di Johor.
Menurutnya, antara kawasan yang dilawatinya ialah Bukit Kepong, Bukit Pasir, Rengit, Kukup, Benut dan Pulai Sebatang selain meneruskan siri lawatan ke Maharani, Simpang Jeram, Bukit Naning dan Sri Medan.
Sehubungan itu, beliau menyeru jentera BN supaya terus mempergiat usaha mendekati pengundi sehingga tamat tempoh berkempen.
“Teruskan bergerak dan bertemu seramai mungkin pengundi dan usaha di peringkat akar umbi perlu diteruskan bagi memastikan mesej parti dapat disampaikan dengan berkesan,” katanya.
Sebelum ini, Pengarah Strategik DAP, Liew Chin Tong mendakwa BN Johor kini sudah goyang dengan perkembangan politik di negeri itu sekali gus menyukarkan parti terbabit mendapat lebih 40 kerusi dalam PRN Johor, 11 Julai depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




