BUKIT MERTAJAM : Seorang anggota polis berusia 40 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar sebiji tayar yang dipercayai tercicir daripada sebuah lori di Kilometer 140.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Seberang Jaya di sini, kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta dari arah Juru menghala ke Seberang Jaya melanggar tayar tersebut yang berada di tengah-tengah jalan sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan dan terbabas ke bahu kiri jalan.
Katanya, mangsa yang menunggang motosikal serta datang dari arah yang sama dengan kereta itu turut melanggar tayar berkenaan sebelum terjatuh dan terseret di atas permukaan jalan.
“Akibat daripada kemalangan itu, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
“Sementara itu, pemandu kereta terbabit bersama dua orang penumpang turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dennis berkata, keputusan bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik HSJ juga telah mengesahkan bahawa kematian mangsa berpunca daripada kecederaan kepala akibat kemalangan jalan raya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis kini sedang giat mengesan pemilik tayar lori yang dipercayai menjadi punca kemalangan ini.
“Justeru, mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta untuk tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nor Aliza Fatim Ismail di talian 017-4046215 atau datang ke mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.-UTUSAN




