KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara berperingkat sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, arahan itu diputuskan selepas JWP membentangkan hasil Kajian Kebolehlaksanaan Pindaan Akta 190 yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kepada Jemaah Menteri.
“JWP telah diarahkan untuk memberikan fokus kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang dalam DBKL secara berperingkat terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang cadangan pindaan Akta 190,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Hannah, JWP bersama DBKL kini sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh tadbir urus pihak berkuasa tempatan itu supaya terus relevan dan berkesan pada masa hadapan.
“Perkara yang sama hendaklah dimaklumkan semula kepada Jemaah Menteri dari masa ke masa,” katanya.
UIAM telah dilantik untuk melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pindaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) bagi menilai keperluan serta implikasi pembaharuan terhadap kerangka tadbir urus Kuala Lumpur.
Kajian tersebut telah dilaksanakan selama empat bulan, bermula pada 1 Disember 2025 dan berakhir pada 31 Mac lalu.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas kajian UIAM mendapati kebanyakan isu yang timbul dalam pentadbiran DBKL bukan berpunca daripada kekurangan peruntukan undang-undang, sebaliknya disebabkan kelemahan dari aspek tatakelola termasuk ketiadaan garis panduan pelaksanaan dan tatacara pengurusan mesyuarat yang jelas serta mempunyai punca kuasa mencukupi.
Selain itu, kajian berkenaan turut berpandangan bahawa sebarang perubahan terhadap struktur asas Akta 190 tidak boleh dianggap sebagai isu teknikal semata-mata kerana ia melibatkan kerangka tadbir urus tertinggi serta mempunyai kaitan dengan sejarah penubuhan Kuala Lumpur dan Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, UIAM mencadangkan supaya ruang penambahbaikan dilaksanakan terlebih dahulu melalui reformasi pentadbiran dalaman seperti arahan, garis panduan, protokol operasi dan mekanisme penyelarasan sebelum sebarang pindaan kepada Akta 190 dipertimbangkan.
Kajian sama juga tidak mencadangkan sistem Ahli Majlis diperkenalkan dalam struktur DBKL buat masa ini kerana ia dikhuatiri mewujudkan pertindihan fungsi serta menimbulkan ketidakjelasan dari sudut akauntabiliti. Sebaliknya, mekanisme semak dan imbang disaran diperkukuhkan menerusi struktur sedia ada.
Dalam masa sama, laporan itu mengesyorkan supaya peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur diperkasakan sebagai institusi pengawasan demokratik dan saluran representasi awam menerusi mesyuarat konsultatif berkala, jawatankuasa pemantauan, semakan belanjawan serta penyampaian isu rakyat kepada DBKL tanpa memberikan kuasa pentadbiran secara langsung.
Kajian turut menegaskan bahawa berdasarkan sejarah dan perundangan negara, Kuala Lumpur ditadbir di bawah konsep Datuk Bandar sebagai Perbadanan Tunggal dan pewujudan Ahli Majlis yang mempunyai kuasa eksekutif atau hak mengundi secara langsung berpotensi bercanggah dengan semangat asal penubuhan pentadbiran ibu negara.



