khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Aktivis S Chandrasegaran atau lebih dikenali sebagai Cikgu Chandra hanya mengucapkan ‘Alhamdulillah’ sebaik sahaja diajukan soalan sama ada sudah memeluk Islam.
Cikgu Chandra berkata, dia juga menghormati persoalan dikemukakan media mengenai pengislamannya, selain menyatakan mempunyai keluarga yang perlu dilindungi dan tidak mahu sebarang kenyataan dikeluarkan olehnya dipetik di luar konteks.
“Saya menghormati persoalan yang dikemukakan oleh pihak media. Namun, saya memilih untuk menjawab Alhamdulilah pada ketika ini.
“Saya ada keluarga yang perlu saya lindungi dan saya tidak mahu sebarang kenyataan saya dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan salah faham atau memberi kesan kepada mereka,” katanya kepada Harian Metro, tadi.
Cikgu Chandra berkata demikian ketika mengulas mengenai hantaran di Facebooknya dengan mengucap kalimah syahadah.
Mengulas lanjut, Cikgu Chandra turut percaya setiap individu berhak membuat tafsiran terhadap sesuatu hantaran.
Bagaimanapun katanya, dia tidak akan mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Saya berharap pihak media dapat menghormati pendirian saya dan memberikan ruang kepada saya serta keluarga.
“Insya-Allah saya akan maklumkan bila tempoh bertenang saya selesai,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, Cikgu Chandra pernah menerima insiden khianat serta ugutan jenayah di perumahan Taman Kinrara, Puchong pada Mac lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd


