Atlanta: Jurulatih England, Thomas Tuchel berkata pasukannya tidak pernah hilang keyakinan walaupun bermula buruk sebelum bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo dalam aksi Piala Dunia, hari ini.
England terlebih dahulu dikejutkan apabila Brian Cipenga meletakkan Congo di depan seawal minit ketujuh dalam perlawanan di Atlanta.
Namun, Harry Kane muncul wira dengan dua gol pada babak kedua dalam aksi penuh debaran yang akhirnya membawa England ke pusingan 16 terbaik bertemu tuan rumah bersama, Mexico, di Stadium Azteca.
“Kami terus percaya. Kami bermula dengan cara paling buruk, percubaan pertama mereka terus menghasilkan gol. Selepas itu ia menjadi lebih sukar,” kata Tuchel.
England turut menuntut sepakan penalti pada babak pertama apabila Kane dijatuhkan penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi, namun tidak diberikan pengadil.
“Selepas rehat minum pertama, kami mula menguasai permainan. Saya rasa kami sepatutnya mendapat penalti.
“Pemain gantian memberi impak dan kami berjaya menang. Ia kemenangan yang wajar, tetapi kami perlu bekerja keras untuknya.”
“Kami perlu ada mentaliti seperti ini. Apabila keadaan sukar, ia memang sukar, tetapi jangan hilang sabar dan jangan hilang keyakinan,” katanya.
Mengenai Kane, Tuchel berkata dengan penuh pujian: “Dia semakin baik.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




