ATLANTA: Pengendali England, Thomas Tuchel memuji semangat juang dan kekuatan mental anak buahnya selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Democratic Republic(DR) Congo 2-1 sekali gus mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026, hari ini.
Menurut Tuchel, England tidak pernah kehilangan keyakinan meskipun dikejutkan dengan jaringan awal lawan yang hampir merencatkan rentak permainan mereka di Stadium Mercedes-Benz, Atlanta.
The Three Lions bermula dengan langkah sumbang apabila pemain sayap DR Congo, Brian Cipenga meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit ketujuh menerusi percubaan pertama mereka ke arah gol.
Bagaimanapun, England berjaya mempamerkan kebangkitan penuh karakter pada babak kedua apabila kapten pasukan, Harry Kane tampil sebagai penyelamat dengan dua jaringan penting yang memadam impian DR Congo untuk melakar kejutan terbesar kejohanan.
“Kami terus percaya. Kami bermula dengan cara paling buruk apabila percubaan pertama mereka terus menghasilkan gol.
“Selepas itu keadaan menjadi lebih sukar kerana mereka semakin yakin dan bertahan dengan baik,” kata Tuchel.
England turut berasa mereka dinafikan peluang terbaik untuk kembali mengikat kedudukan pada separuh masa pertama apabila Kane dijatuhkan penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi, namun pengadil tidak menghadiahkan sepakan penalti.
“Selepas rehat, kami mula menguasai permainan dan mencipta lebih banyak peluang. Saya masih merasakan kami sepatutnya diberikan sepakan penalti, tetapi kami tidak membiarkan keputusan itu menjejaskan fokus pasukan.
“Pemain-pemain gantian memberikan impak yang sangat baik. Kami terus menekan dan akhirnya berjaya mendapatkan kemenangan. Ia adalah kemenangan yang wajar, tetapi kami terpaksa bekerja keras untuk mendapatkannya,” ujarnya.
Bekas pengendali Chelsea dan Bayern Munich itu turut menyifatkan kemenangan tersebut sebagai bukti kematangan England dalam menghadapi tekanan, terutama dalam saingan kalah mati yang sering ditentukan oleh ketenangan dan kekuatan mental pemain.
“Kami perlu mengekalkan mentaliti seperti ini. Apabila berdepan situasi sukar, jangan hilang sabar dan jangan sesekali hilang keyakinan. Itulah yang ditunjukkan pemain-pemain hari ini dan saya sangat gembira dengan reaksi mereka,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan Kane yang menjaringkan kedua-dua gol kemenangan England, Tuchel hanya memberikan jawapan ringkas tetapi cukup bermakna: “Dia semakin baik.”
England kini akan berdepan cabaran lebih getir apabila bertemu Mexico dalam aksi pusingan 16 terbaik di Stadium Azteca, dengan Tuchel berharap semangat juang yang dipamerkan ketika menentang DR Congo mampu diteruskan dalam misi memburu gelaran dunia.-AGENSI




