Mexico City: Sebastian Beccacece mengucapkan selamat tinggal kepada Ecuador selepas kekalahan 0-2 kepada Mexico dalam pusingan 32 terbaik Piala Dunia, hari ini sambil mengakui gagal merealisasikan sasaran dijanjikannya kepada pasukan itu.
Jurulatih dari Argentina itu berkata, kontraknya bersama Ecuador berakhir sebaik sahaja kempen Piala Dunia tamat dan beliau menerima hakikat masanya bersama skuad berkenaan sudah berakhir.
Walaupun Ecuador mara ke pusingan kalah mati dengan keyakinan tinggi selepas bangkit menewaskan Jerman, mereka gagal menandingi permulaan garang Mexico yang turut mempamerkan pertahanan ampuh.
“Kontrak kami berakhir bersama Piala Dunia. Saya rasa kami tidak berjaya mencapai apa yang kami janjikan iaitu menjadikan ini Piala Dunia terbaik buat Ecuador. Hari ini giliran saya untuk mengucapkan selamat tinggal,” kata Beccacece selepas perlawanan di Stadium Azteca.
“Sebab itu saya perlu pergi. Saya sebenarnya mahu meneruskan tugas kerana apa yang saya terima daripada pemain dan pihak pengurusan memberi ruang untuk saya kekal.
“Tetapi saya faham bagaimana perkara ini berfungsi. Ia menyakitkan, namun saya fikir keputusan ini sudah jelas,” katanya.
Beccacece mengakui pasukannya bergelut pada separuh masa pertama apabila Mexico menguasai permainan dan memberi tekanan berterusan.
“Kami ditewaskan dari segi permainan pada separuh masa pertama,” katanya.
“Kami cuba bangkit, tetapi gagal mendapatkan gol yang mampu menyuntik semangat kepada pasukan.”
Di sebalik kekecewaan tersingkir, Beccacece memilih untuk mengenang hubungan erat yang terjalin antara dirinya, pemain dan rakyat Ecuador sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Ketika ditanya mengenai legasi ditinggalkannya, beliau enggan mengambil kredit, sebaliknya memuji barisan pemain muda Ecuador.
“Legasi itu milik pemain kerana mereka adalah pasukan Ecuador yang paling muda. Saya tiada sebarang keluhan, hanya rasa terima kasih kepada rakyat dan pemain.
“Saya menerima begitu banyak penghargaan dan kasih sayang dengan sepenuh hati.
“Pemain memberikan saya dua jam yang sangat bermakna selepas perlawanan dan itulah kenangan yang akan saya bawa bersama,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




