England terlalu berharap magis Kane

England terlalu berharap magis Kane

Kansas City: Apabila England berada di ambang penyingkiran, sekali lagi nama Harry Kane muncul sebagai penyelamat.

Kapten England itu menjaringkan dua gol dalam tempoh 11 minit bagi memastikan skuad kendalian Thomas Tuchel bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan Republik Demokratik (DR) Congo 2-1 pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 di Atlanta, awal pagi tadi.

Penyerang Bayern Munich itu menyamakan kedudukan menerusi tandukan hasil hantaran silang Anthony Gordon pada minit ke-75 sebelum meledak gol kemenangan empat minit sebelum tamat permainan.

Dua jaringan itu menjadikan Kane kini mengumpul lima gol di Piala Dunia 2026, hanya satu di belakang Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan Kasut Emas, selain menyamai rekod Erling Haaland.

Malah, gol ke-12 dan ke-13 Kane di pentas Piala Dunia menyaksikannya memintas legenda Brazil, Pele, yang menjaringkan 12 gol, sekali gus berkongsi kedudukan keenam dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama penyerang Perancis, Just Fontaine.

Tuchel menyifatkan Kane sebagai antara penyerang bertaraf dunia yang memiliki naluri pembunuh di depan gawang.

“Mereka semua seperti jerung. Apabila menghidu peluang, mereka akan menyambar dan menjaringkan gol.

“Dia luar biasa. Kane ialah kapten dan pemimpin kami. Dia memutuskan perlawanan menerusi penyudah yang menakjubkan,” kata pengendali dari Jerman itu.

Musim ini, Kane sudah meledak 72 gol untuk kelab dan negara dalam hanya 62 penampilan, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penyudah terbaik dunia.

Rakan sepasukan, Declan Rice, turut memuji ketajaman kaptennya itu.

“Statistiknya memang luar biasa. Dia seorang pemimpin sebenar, berlatih bersungguh-sungguh setiap hari dan disenangi semua pemain.

“Apabila anda memiliki pemain yang mampu memenangi perlawanan seperti itu, ia satu kelebihan besar. Gol keduanya sangat menakjubkan,” katanya.

Kane mengakui perlawanan itu menjadi pentas buatnya mencipta detik kepahlawanan ketika England kini bersedia menghadapi Mexico pada pusingan 16 terbaik di Stadium Azteca.

Namun di sebalik kejayaan itu, persoalan mula timbul sama ada England terlalu bergantung kepada Kane.

Setakat ini, Kane bersama Jude Bellingham menyumbang tujuh daripada lapan gol England di Piala Dunia, sekali gus memperlihatkan kebergantungan besar skuad Three Lions kepada dua tonggak berkenaan.

Bekas penyerang England, Chris Sutton, pula mengingatkan bahawa kemenangan ke atas DR Congo tidak harus dipandang mudah.

“Dalam aksi kalah mati, apa yang penting ialah menang dan terus mara.

“Namun persoalan yang perlu ditanya ialah, di manakah England jika mereka tidak memiliki Harry Kane?” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top