Klement minta maaf kepada Belanda selepas ramalan tersasar

Klement minta maaf kepada Belanda selepas ramalan tersasar

Munich: Seorang ahli ekonomi dari Jerman yang model ramalannya berjaya meneka tiga juara Piala Dunia terakhir memohon maaf kepada Belanda, pasukan pilihannya untuk menjulang trofi 2026 selepas mereka tersingkir menerusi penentuan penalti kepada Maghribi pada pusingan 32 terbaik.

Joachim Klement, yang digelar sebagai ‘Nabi Piala Dunia’ selepas modelnya berjaya meramalkan kejayaan Jerman pada 2014, Perancis pada 2018 dan Argentina pada 2022, kini mengakui rekod cemerlangnya akhirnya tamat.

“Akhirnya, selepas 12 tahun dan bernasib baik dalam tiga Piala Dunia, tuah saya habis juga,” tulisnya di blog miliknya, Klement on Investing.

Tahun ini model tersebut meramalkan Belanda akan memenangi Piala Dunia pertama mereka dengan menewaskan Portugal di pentas final. Namun sebaliknya berlaku apabila skuad kendalian Ronald Koeman menjuarai Kumpulan F sebelum tewas kepada Maghribi menerusi penentuan penalti di Monterrey, kelmarin.

Jaringan awal Cody Gakpo dibatalkan oleh gol Issa Diop pada minit ke-91 sebelum Maghribi memenangi penentuan penalti 3-2.

“Kepada pasukan kebangsaan Belanda dan seluruh rakyat Belanda, saya mohon maaf jika saya memberi harapan palsu tetapi kamu memang tidak bernasib baik,” tulis Klement sambil menyentuh hampir berjayanya penjaga gol Bart Verbruggen menyelamatkan sepakan penalti.

Beliau turut meminta penyokong Belanda supaya tetap berbangga dengan pasukan itu dan percaya mereka masih mampu memenangi trofi utama, mungkin pada Euro 2028, walaupun beliau berjanji tidak akan membuat ramalan untuk kejohanan itu.

“Saya bukan orang Belanda tetapi saya bangga dengan pasukan ini dan itu lebih daripada apa yang boleh saya katakan tentang pasukan negara saya sendiri,” katanya.

Jerman tersingkir beberapa jam lebih awal, juga menerusi penentuan penalti selepas ditewaskan Paraguay pada pusingan 32 terbaik.

Model tersebut turut tersasar dalam beberapa ramalan lain. Ia menjangkakan Jepun akan menyingkirkan Brazil, namun Brazil bangkit daripada ketinggalan untuk menang 2-1 dengan Gabriel Martinelli yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol kemenangan pada minit keenam masa kecederaan selepas Casemiro menyamakan kedudukan.

Neymar sempat menyindir Klement di platform X dengan menulis: “Encik Joachim Klement, cuba lagi pada Piala Dunia akan datang.”

Klement kemudian memberikan penghargaan khas kepada penyerang itu dalam kenyataan permohonan maafnya.

Klement pada asalnya membina model tersebut untuk membuktikan bahawa meramalkan juara menggunakan data ekonomi adalah mustahil, namun model itu mengejutkan ramai apabila tepat meneka juara 2014 pada percubaan pertama.

Model itu menggunakan beberapa faktor utama termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sebagai petunjuk kepada infrastruktur sukan, jumlah penduduk, kedudukan bola sepak dalam masyarakat, ranking dunia dan juga unsur nasib.

Peti e-melnya dipenuhi mesej sindiran sepanjang malam, termasuk ada yang bertanya sama ada beliau akhirnya akan menamatkan penggunaan model itu.

“Adakah anda bergurau? Saya seorang ahli ekonomi profesional dan pakar strategi pelaburan. Dalam dunia pelaburan, kami tahu bahawa kami sentiasa membuat ramalan yang salah,” katanya.

Menurutnya, pedagang hanya perlu betul enam daripada 11 kali untuk menjana keuntungan, dan beliau kini mempunyai rekod tiga daripada empat ramalan Piala Dunia yang tepat, sebab itu beliau berjanji akan kembali empat tahun lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top