PRN Johor: Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat – Dr Zaliha

PRN Johor: Jangan terkejut apa PH akan tawarkan kepada rakyat – Dr Zaliha

Pakatan Harapan (PH) Johor dijadual melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Jumaat ini dengan tawaran yang disifatkan berasaskan keperluan sebenar rakyat negeri berkenaan, lapor Sinar Harian.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, manifesto yang bakal diperkenalkan itu telah dimuktamadkan selepas melalui penelitian rapi bagi memastikan setiap tawaran bukan sahaja relevan, malah mampu dilaksanakan.

Menurut beliau, aspek kebolehcapaian dan pelaksanaan manifesto menjadi antara perkara utama yang diberi perhatian.

“Perkara ini kena diteliti baik-baik, sebab itulah insya-ALLAH PH Johor dah bersedia dan 3 Julai ini (Jumaat) kita akan lancarkan manifesto.

“Kepada Datuk Zahari Sarip (calon BN Buloh Kasap), tengok nanti 3 Julai apa yang PH nak tawarkan kepada rakyat Johor, jangan terkejut!

“Tawarannya insya-ALLAH kita sudah teliti dan ada asas, ini adalah keperluan rakyat. Selain itu, matlamat kita dalam meningkatkan kehidupan rakyat Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan yang dibangkitkan calon Barisan Nasional (BN) Buloh Kasap, Datuk Zahari Sarip mengenai manifesto serta hala tuju PH Johor bagi menghadapi PRN negeri itu.

Penjelasan tersebut disampaikan menerusi satu wawancara sempena PRN Johor yang dimuat naik di Facebook miliknya semalam.

Dalam masa sama, Ahli Parlimen Sekijang itu turut menyindir BN dengan mendakwa masih terdapat pelbagai manifesto gabungan berkenaan yang belum berjaya ditunaikan sehingga kini.

Mengulas rekod pentadbiran PH pula, Dr Zaliha berkata, pemantauan yang dilakukan oleh jawatankuasa khas menunjukkan hampir semua janji manifesto gabungan itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Saya pernah menjadi anggota Kabinet, di saat kita memerintah selama dua tahun pertama hingga tahun ketiga (sekarang memasuki tahun keempat), memang manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti komponen kita pantau satu-persatu.

“Alhamdulillah, ketika kita memantau semua janji tersebut oleh parti-parti yang berkenaan, sebenarnya apa yang dijanjikan dalam manifesto PH hampir semuanya tertunai.

“Ini bermakna dalam masa tiga tahun setengah, kita dah boleh laksanakan. Jadi, tidak mustahil apa yang digariskan dalam PRN Johor ini adalah perkara yang boleh direalisasikan sepanjang tempoh pentadbiran,” ujarnya.

Sumber: Sinar Harian (Aisyah Basaruddin)

Scroll to Top