Fosil T-Rex paling lengkap akan dilelong di New York

Fosil T-Rex paling lengkap akan dilelong di New York

New York: Salah satu rangka dinosaur ‘Tyrannosaurus rex’ yang paling lengkap di dunia atau nama julukannya Gus dipamerkan di rumah lelong Sotheby’s di sini, pada Rabu.

Fosil gergasi itu dianggarkan bernilai antara AS$20 juta (kira-kira RM81.7 juta) hingga AS$30 juta (kira-kira RM122.6 juta).

Ia anggaran harga tertinggi pernah ditetapkan untuk fosil dinosaur. Fosil itu ditemukan di sebuah ladang ternakan lembu di Dakota Selatan pada 2021.

Gus dipercayai hidup pada zaman Maastrichtian, antara kira-kira 72 hingga 66 juta tahun lalu. Ia satu tempoh yang dicirikan oleh iklim panas, paras laut yang tinggi, serta dataran pantai luas yang sering dilanda banjir.

Rangka itu dengan panjang badannya adalah 11.6 meter dan menjadikannya salah satu spesimen rangka dinosaur terbesar yang pernah ditemukan. Ia terdiri daripada 183 tulang dan tahap kelengkapan fosil itu adalah kira-kira 63 peratus.

Gus dipamerkan di bandar ini sehingga 14 Julai, iaitu pada tarikh lelongan itu berlangsung.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top