Presiden Cape Verde ramal menang 1-0 ke atas Argentina

Presiden Cape Verde ramal menang 1-0 ke atas Argentina

Miami: Presiden Cape Verde, José Maria Neves yakin negaranya mampu mengejutkan juara bertahan Argentina dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA sambil menyifatkan pasukan itu sedang ‘mencipta takdir sendiri’.

“Saya fikir Cape Verde boleh menewaskan Argentina 1-0,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama BBC.

“Kami bermain untuk menang, apabila jangkaan terhadap sesebuah pasukan rendah, tetapi pasukan itu mempunyai keazaman untuk menang, apa sahaja boleh berlaku. Negara kecil seperti Cape Verde perlu sentiasa berusaha melakukan perkara itu, terus mengejutkan orang ramai,” katanya.

Kenyataan itu dibuat menjelang pertemuan antara Blue Sharks dan Argentina yang dikenali sebagai La Albiceleste di Miami pada pagi Sabtu.

Ini penampilan pertama Cape Verde di pentas Piala Dunia. Negara kepulauan yang terdiri daripada 10 buah pulau di Lautan Atlantik itu turut mencipta satu lagi sejarah apabila muncul sebagai negara paling kecil pernah mara ke pusingan kalah mati.

Cape Verde memulakan kempen dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Sepanyol, dengan penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha, muncul wira pasukan menerusi beberapa aksi menyelamat penting.

Mereka kemudian mengikat juara dunia dua kali, Uruguay, 2-2.

Seterusnya, Cape Verde sekali lagi seri tanpa jaringan, kali ini menentang Arab Saudi pada Sabtu, sekali gus menamatkan saingan sebagai naib juara Kumpulan H selepas Sepanyol menewaskan Uruguay.

Kini mereka bakal berdepan Argentina yang diketuai Lionel Messi dengan membawa reputasi baharu sebagai pasukan yang gemar mencipta kejutan ke atas lawan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top