PETALING JAYA: Sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian yang beroperasi di sebuah kedai pejabat di Cheras tumpas selepas 32 warga China ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
Serbuan Op Soga XI yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada pukul 2.40 pagi itu berjaya menahan 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan pusat operasi untuk menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi serta mempromosikan aktiviti pertaruhan bola sepak dalam talian.
“Polis turut merampas 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.
“Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi laman web 6288.com dan pusat operasi itu dipercayai sudah beroperasi sejak tiga minggu lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata, semua suspek direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan.
“Polis akan terus mempergiatkan Op Soga XI sepanjang tempoh Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan terhadap ejen pertaruhan, penganjur serta individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian,”jelasnya. – UTUSAN




