Empat kawasan di Sarawak, ibu negara catat IPU tidak sihat

mahani@bh.com.my

Kuala Lumpur: Tiga kawasan di Sarawak dan satu di Kuala Lumpur merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7.30 pagi ini.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), di Sarawak, Samarahan mencatat bacaan IPU tertinggi iaitu 164, diikuti Ibu Pejabat Daerah (IPD) Serian (162) dan Sri Aman (155).

Sementara itu, Cheras, Kuala Lumpur merekodkan bacaan IPU 129.

Sebanyak 61 stesen pemantauan merekodkan bacaan sederhana, manakala dua stesen berada pada tahap baik.

Tiada stesen merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat atau berbahaya.

Dalam pada itu, data bacaan IPU di Politeknik Kota Kinabalu, Sabah tidak tersedia.

Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan bacaan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kualiti udara semasa menerusi saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar melalui pautan eqms.doe.gov.my atau MyJAS EQMS di Google Play dan App Store.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top